Sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), PERKESO akan memberikan sokongan penuh terhadap Kerajaan dan komited melaksanakan kesemua inisiatif Bajet 2022 yang melibatkan agensi ini. Kami juga yakin bahawa intipati belanjawan yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera” ini akan memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya, selari dengan pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi menjelang tahun 2022.
JaminKerja - Insentif Penggajian (JKIP), SIP Perantisan dan SIP Gig
Dalam usaha merealisasikan hasrat Kerajaan untuk menjamin penyediaan 600,000 peluang pekerjaan pada tahun 2022, sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada PERKESO untuk melaksanakan JaminKerja – Insentif Penggajian (JKIP) di bawah Sistem Insurans Pekerjaan kami. Sistem Insurans Pekerjaan atau singkatannya SIP merupakan salah satu produk PERKESO yang bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan bantuan kewangan dan pekerjaan baharu.
Kami mensasarkan seramai 300,000 pencari kerja di seluruh negara bakal menerima manfaat bantuan pengambilan pekerja ini. Pelaksanaan insentif ini akan merangsang lebih banyak pewujudan pekerjaan oleh para majikan, sekaligus menggalakkan penyertaan lebih ramai kumpulan tumpuan seperti orang kelainan upaya (OKU), banduan, bekas tentera dan orang asli serta golongan wanita untuk kembali bekerja. Insentif ini juga dijangka dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih mapan menerusi tempoh pemberian insentif yang dilanjutkan.
Menerusi JKIP, para majikan yang menggajikan individu yang tidak aktif bekerja bakal menerima insentif sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan bagi tempoh enam (6) bulan pertama dan 30 peratus bagi 6 bulan berikutnya tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,500 ke atas.
Bagi golongan rentan pula, majikan layak menerima insentif sebanyak 30 peratus untuk 6 bulan pertama, sebelum dinaikkan kepada 40 peratus bagi 6 bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji antara RM1,200 hingga RM10,000. Kadar insentif yang sama turut akan dipanjangkan bagi pengambilan pekerja golongan wanita yang telah mengganggur melebihi tempoh setahun, ibu tunggal dan suri rumah.
Sebagai kesinambungan kepada kejayaan program Perantisan sebelum ini, JKIP akan meneruskan pemberian insentif sebanyak RM900 sebulan untuk tempoh 6 bulan kepada majikan yang menggajikan golongan perantis lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun. Ini melibatkan kenaikan insentif sebanyak RM100 sebulan daripada RM800 sebelum ini dalam Belanjawan 2021. Bermula tahun 2022 juga, program ini akan dijenamakan semula sebagai SIP Perantisan.
Seiring dengan perkembangan ekonomi gig, JKIP turut menyediakan insentif sebanyak RM900 sebulan selama 6 bulan kepada individu yang terlibat dalam pekerjaan gig. Insentif ini akan terus memanfaatkan golongan rentan dan individu yang mengalami kehilangan pekerjaan untuk terlibat dalam pekerjaan gig sehingga mereka dapat memperoleh pekerjaan sepenuh masa. Bermula tahun 2022, program ini akan dijenamakan semula sebagai SIP Gig bagi menggantikan nama Program KerjayaGig.
Program Kasih Suri Keluarga Malaysia
Dengan semangat inklusif Keluarga Malaysia, Kerajaan menerusi PERKESO akan memperluas liputan perlindungan keselamatan sosialnya khusus kepada wanita dalam kalangan suri rumah menerusi Program Kasih Suri Keluarga Malaysia. Jaringan perlindungan sosial di bawah peruntukan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah ini akan menggunakan pendekatan yang sama seperti caruman PERKESO yang dikenakan ke atas pekerja lain. Selain memperkasa dan membela nasib golongan suri rumah, program ini juga bermatlamat untuk melindungi mereka sekiranya berlaku sebarang musibah dan insiden yang tidak diingini.
SIP Subsidi Upah Bersasar
Bajet 2022 juga tidak meminggirkan usaha pemulihan sektor pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Sehubungan itu, sebanyak RM600 juta telah diperuntukkan untuk pelaksanaan Program Subsidi Upah Bersasar. Di bawah inisiatif ini, pengusaha-pengusaha pelancongan yang mengalami penurunan pendapatan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada jumlah jualan atau pendapatan bulanan boleh memohon insentif ini. Bantuan subsidi ini dijangka akan memanfaatkan seramai 26,000 majikan membabitkan 330,000 pekerja daripada sektor ini. Bermula tahun 2022, Program Subsidi Upah akan dijenamakan semula sebagai SIP Subsidi Upah dan sejajar dengan itu, Program Subsidi Upah Bersasar ini juga akan dijenamakan semula sebagai SIP Subsidi Upah Bersasar.
SIP Elaun Mencari Pekerjaan+
Bagi membantu dan menggalakkan individu yang menganggur mencari pekerjaan, Kerajaan akan meneruskan pemberian bantuan Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) di bawah SIP kepada pencarum dan bukan pencarum PERKESO. Inisiatif ini merupakan penambahbaikan kepada program SIP Prihatin 1.0 dan SIP Prihatin 2.0 serta dijangka memanfaatkan seramai 265,000 individu yang aktif mencari pekerjaan. Langkah penambah baikan insentif EMP ini juga dapat memberi impak yang positif kepada pasaran kerja secara makro, sekaligus membantu mengurangkan kadar pengangguran negara. Bermula tahun 2022, perluasan dan sambungan program ini akan dijenamakan semula dengan menggunakan nama SIP Elaun Mencari Pekerjaan+ atau SIP EMP+ bagi menggantikan nama SIP Prihatin.
Bantuan SIP EMP+ di bawah Bajet 2022 ini akan dilaksanakan seperti berikut:
1. Pencarum PERKESO
- Pemberian elaun untuk tempoh sembilan (9) bulan dengan kadar yang layak dituntut sebanyak 80 peratus gaji bagi bulan pertama, 50 peratus gaji bagi bulan kedua hingga keenam dan 30 peratus gaji bagi tiga (3) bulan terakhir.
- Para pekerja yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2021 yang sehingga kini masih menganggur juga layak menerima tambahan elaun selama 3 bulan di bawah SIP EMP+.
2. Bukan pencarum PERKESO
- Elaun sebanyak RM300 sebulan untuk tempoh 3 bulan.
- Elaun tambahan sebanyak RM400 akan dibayar terus kepada pemohon berjaya ditempatkan ke dalam pekerjaan.
Kenaikan Had Siling Gaji Caruman dan Kadar Minimum Pencen Skim Keilatan
Prihatin dengan nasib yang menimpa rakyat yang kehilangan pencari nafkah dalam keluarga akibat COVID-19, peruntukan sebanyak RM267 juta akan diberikan kepada PERKESO bagi menambah baik operasinya melibatkan kadar caruman serta faedah yang ditawarkan. Antaranya ialah meningkatkan had siling gaji bulanan yang diinsuranskan daripada RM4,000 kepada RM5,000, yang akan melibatkan seramai 9 juta pencarum PERKESO di seluruh negara.
Selain itu, kadar minimum Pencen Penakat yang dibayar kepada Orang Tanggungan yang layak pula akan dinaikkan daripada RM475 sebulan kepada RM550 sebulan atau lebih kurang 15.8 peratus kenaikan daripada kadar sedia ada. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 56,000 isi rumah. Inisiatif ini pula akan disusuli dengan penyelarasan faedah-faedah PERKESO yang lain, bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup dan dijangka akan memanfaatkan lebih 400,000 penerima faedah sedia ada.
SPS Khidmat, SPS Gig, SPS Usahawanita, SPS Tani, SPS Jaja, SPS Seni, SPS Lain Upaya, SPS Lancong dan SPS Orang Asal.
Belanjawan 2022 juga jelas memperlihatkan keperihatinan Kerajaan dalam melindungi golongan pekerja sendiri dan sektor informal. Justeru, Kerajaan menerusi PERKESO akan melaksanakan Program Geran Penuh atau Padanan Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi meneruskan usaha perluasan liputan perlindungan sosial di bawah PERKESO. Perluasan menerusi inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih 810,000 pekerja termasuk golongan artis, nelayan dan ejen pelancongan dengan manfaat nilai caruman sehingga 80 peratus. Bermula tahun 2022, program SPS Lindung akan dijenamakan semula dan dipecahkan mengikut sembilan (9) kategori Orang Bekerja Sendiri (OBS) yang dilindungi iaitu SPS Khidmat, SPS Gig, SPS Usahawanita, SPS Tani, SPS Jaja, SPS Seni, SPS Lain Upaya, SPS Lancong dan SPS Orang Asal.
PERKESO menyambut baik segala usaha dan perancangan Kerajaan menerusi Bajet 2022 ini. Sebagai sebuah agensi yang diamanahkan untuk melindungi golongan pekerja di Malaysia, PERKESO akan memberi sepenuh komitmen untuk melaksanakan kesemua inisiatif tersebut khususnya dalam usaha pemulihan ekonomi dan melindungi tenaga kerja dalam memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan untuk Keluarga Malaysia yang sejahtera.
Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed
Ketua Eksekutif
31 Oktober 2021