BEIJING: Jumlah perdagangan luar China direkodkan sebanyak RMB23.6 trilion (RM14.75 trilion) dalam tujuh bulan pertama tahun ini, meningkat 10.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, lapor Jabatan Am Kastam China pada Ahad.

Pengarah Jabatan Statistik dan Analisisnya, Li Kuiwen berkata China meningkatkan pencegahan dan kawalan wabak di samping mempergiat pembangunan sosioekonomi pada tahun ini.

Jelasnya, perdagangan luar bukan sahaja mengatasi pelbagai impak seperti persekitaran luaran yang kian mengetat dan penularan wabak, malah turut mencapai pertumbuhan pesat.

Untuk rekod, jumlah import dan eksport pada Julai meningkat 16.6 berbanding bulan sebelumnya, dan mengekalkan trend peningkatan perdagangan luar sejak Mei, sekali gus memberikan sumbangan penting untuk menstabilkan ekonomi makro.

Menurut statistik jabatan itu, struktur perdagangan luar China terus dioptimumkan pada tujuh bulan pertama tahun ini.

Difahamkan, jumlah import dan eksport perdagangan umum mencatat RMB15.17 (RM9.48 trilon) dalam tempoh itu dan meningkat 14.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

ASEAN kekal sebagai rakan dagangan terbesar China, menduduki 15 peratus dalam keseluruhan perdagangan luar China.

Sejak Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dikuatkuasakan pada 1 Januari, jumlah negara anggota RCEP juga menyaksikan pertambahan.

Di samping itu, jumlah perdagangan antara China dengan negara-negara terlibat dalam inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan 14 negara anggota RCEP masing-masing meningkat 19.8 peratus dan 7.5 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Penguatkuasaan RCEP terbukti dalam kejayaannya untuk memperkasakan kesalinghubungan ekonomi serta kerjasama perdagangan dan pelaburan serantau, menyediakan penggerak baharu bagi pemulihan dan pertumbuhan ekonomi serantau.

Kelebihan kepelbagaian dan kemantapan perdagangan luar China juga semakin ketara, manakala peningkatan perdagangan antara China dengan negara-negara BRI dan RCEP turut memberikan sumbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.

-- BERNAMA