Wanita digesa untuk meningkatkan penglibatan mereka di dalam sektor pembuatan dan pengilangan di negara ini.

Menurut Ahli Majlis Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Dan Pengerusi Women In Business (WIB), Noraini Soltan, ketika ini peratusan penyertaan wanita dalam sektor itu amat sedikit iaitu 6.9 peratus dan beliau mengharapkan ia akan meningkat kepada 10 peratus menjelang 2020.

"Komitmen waktu dan kos untuk membeli peralatan atau mesin mungkin merupakan faktor utama wanita kurang melibatkan diri dalam sektor pengilangan," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri forum Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia "Wanita Dalam Perniagaan Pada Membangun Dan Memperkukuhkan Wanita Keusahawanan".

Bagaimanapun katanya, kerajaan memberi pelbagai insentif seperti menyediakan geran dan mengambil inisiatif bersama Matrade, SME Corp, MIDA dan lain-lain lagi bagi menyokong usahawan wanita yang ingin turut serta dalam sektor pengilangan. Justeru beliau turut menyeru agar wanita sentiasa peka akan program-program keusahawanan yang disediakan ini.

Di samping itu, beliau menggesa usahawan wanita untuk membina jaringan perhubungan seperti FMM dan WIB bagi bertukar pandangan dan meluaskan perniagaan mereka.

"Rangkaian dari FMM dan WIB sahaja masing-masing mempunyai 241 serta 210 ahli berdaftar dan ini membuka peluang untuk lebih banyak kerjasama perniagaan di masa hadapan. Salah satu tujuan penubuhan WIB pada tahun 2009 adalah untuk memperbanyakkan penglibatan usahawan wanita, terutamanya ke dalam sektor perkilangan," ujarnya lagi.

Tambah Noraini, di peringkat ASEAN, walaupun kos pengeluaran Malaysia lebih tinggi berbanding negara seperti Indonesia dan Kemboja, ini tidak menjadi halangan kerana usahawan di Malaysia masih mampu bersaing secara kompetitif dengan meningkatkan operasi dan mengeksport produk mereka ke negara-negara jiran.