AirAsia X Berhad dijangka mengadakan perjumpaan dengan pemiutang menjelang hujung Oktober depan untuk membuat undian berhubung skim penstrukturan pinjamannya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X, Benyamin Ismail seperti dilaporkan Reuters memberitahu, rundingan dan perbincangan dengan pemajak, pengeluar kapal terbang Airbus SE dan penyedia perkhidmatan telah dijalankan, tanpa mendedahkan sebarang butiran lanjut.
AirAsia X juga didakwa telah berbincang dengan pelabur lain bagi mencari modal selain berharap rundingan itu selesai menjelang hujung tahun ini.
“Kami merancang untuk meningkatkan pembiayaan pada Disember dan menyelesaikannya secepat mungkin. Kami berbincang dengan pelbagai pihak, dan dijangka melihat hasilnya pada penghujung tahun ini,” katanya.
Ujar beliau lanjut, perbincangan dengan pemiutang juga didakwa berada pada peringkat akhir dan perkembangan setakat ini membayangkan mereka mahu meneruskan skim penstrukturan tersebut.
Perkara itu telah disahkan oleh AirAsia X menerusi maklumannya di Bursa Malaysia lewat petang ini, yang menjelaskan rundingan akhir dengan pemiutang masih lagi berjalan.
“Syarikat ingin menjelaskan bahawa walaupun terdapat perkembangan yang baik telah dicapai pada isu-isu besar dengan pemajak, Airbus, Rolls-Royce dan penyedia perkhidmatan, rundingan akhir masih berjalan terutamanya berkenaan pengaturan komersial yang akan dilakukan.
“Syarikat berhasrat untuk mengadakan perjumpaan dengan pemiutang menjelang Oktober 2021,” jelas AirAsia X.
Dalam sebuah dokumen yang difailkan mahkamah pada Isnin, AirAsia X mendakwa rundingan itu sedang dijalankan, tetapi “beberapa surat jaminan telah diperoleh” daripada pemiutang.
Syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa ia telah menerima tiga surat jaminan yang bertandatangan daripada pemiutang yang menyokong skim tersebut termasuk namely Honeywell International, Bridgestone Aircraft Tire Company dan Sky High I Leasing Company.
Pada Oktober tahun lalu, AirAsia X mencadangkan untuk menstrukturkan pinjamannya bernilai RM64.15 bilion, namun menerima tentangan daripada pelbagai pihak pemberi hutang, yang kebanyakannya merupakan pemajak.
Pada minggu ini, mahkamah membenarkan lanjutan kepada AirAsia X untuk mengadakan perjumpaan dengan pemiutang menjelang Mac tahun depan.
Artikel asal ini diterbitkan di portal dagangnews.com