KUALA LUMPUR:Ekonomi negara yang menyusut sebanyak 5.6 peratus, paling rendah sejak 1998 sebenarnya sudah dijangka, bukanlah sesuatu yang mengejutkan.

Meskipun sedikit tinggi daripada jangkaan diumumkan dalam Belanjawan 2021, angka tersebut sebenarnya masih relevan selepas mengambil kira keadaan negara yang terjejas akibat COVID-19.

Setiausaha Agung Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI), Datuk Dr A.T. Kumararajah berkata, kemerosotan itu tidak hanya berlaku di Malaysia malah negara lain juga.

“Kemerosotan ini bukan eksklusif kepada negara kita. Semua negara serantau, ada yang lebih teruk daripada kita.

“Tapi asas ekonomi kita masih kukuh. Walaupun kemerosotan kita alami pada masa lalu, mungkin tahun ini dan tahun kemudian kita tidak alami perkara sama sebab struktur ekonomi yang kukuh,” katanya kepada Astro AWANI.

BACA: Ekonomi Malaysia menyusut paling rendah sejak 1998

Begitupun, Naib Presiden 1, Dewan Perdagangan Asean Chamber Of Commerce, Datuk Abdul Malik Abdullah berkata, beliau bimbang melihat keadaan semasa ekonomi negara.

Menurutnya, banyak syarikat tidak dapat bertahan sebelum ini dan beliau khuatir sekiranya keadaan tidak bertambah baik, lebih banyak akan terjejas.

“Kalau pandemik berterusan, akan ada banyak ‘chain reaction’. Pelabur asing tidak masuk, pelancong pun tak dapat datang, nak eksport barang ke luar pun jadi masalah.


Kesan COVID-19 | KDNK Malaysia menguncup 5.6 peratus pada 2020

“Pelabur asing bila lihat ekonomi kurang baik, selepas itu ada pula masalah politik lagi, lagilah mereka tak mahu masuk. Kita sebagai usahawan memang bimbang,” ujarnya.

Dalam pada itu, kedua-duanya bersetuju dalam usaha untuk perniagaan bertahan, peniaga perlu berubah dan lebih memberi tumpuan kepada norma baharu dan digital.

“Lebih banyak kita boleh inovasikan bisnes kita dengan keadaan semasa, kita akan bertahan.


KDNK | Rapatkan jurang kekayaan mampu tingkat PNK per kapita

“Mereka yang dapat lepas tsunami (ekonomi) sekarang, mereka akan jadi lebih peka, kuat dan lebih daya saing pada masa depan. Jadi kita tidak boleh putus asa,” kata Abdul Malik.

Kumararajah pula berpendapat proses pendigitalan syarikat tidak lagi dapat dielakkan.

“Sekarang perniagaan tidak kira besar atau kecil akan mengalami proses digitalisasi.

“Tidak kira sektor apa yang kita jalankan, semua sektor akan mengalami proses ini,” katanya.


KDNK Malaysia | Buka aktiviti perniagaan pulih kedudukan ekonomi
 
Semalam, Astro AWANI melaporkan, ekonomi Malaysia menyusut 3.4 peratus pada suku ke empat 2020, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
 
Sementara itu ekonomi tahun penuh 2020 pula turut menyusut sebanyak 5.6 peratus, terendah sejak 1998.
Selain itu antara faktor penguncupan termasuk gangguan bekalan komoditi akibat kekurangan tenaga buruh dan penutupan kemudahan.

Malah semua sektor merekodkan penguncupan prestasi sepanjang 2020 kecuali sektor pembuatan yang merekodkan pertumbuhan dipacu segment elektrik dan elektronik.