KUALA LUMPUR:Kerajaan dijangka hanya boleh memperkenalkan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada tahun 2022 iaitu hanya selepas pemulihan ekonomi selesai.

Langkah itu adalah sebagai jalan untuk meningkatkan semula pendapatan negara yang kini dalam keadaan suram yang terkesan oleh COVID-19.

Jelas Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff,  tahun 2021 yang menjadi tahun pemulihan ekonomi dilihat tidak sesuai untuk memperkenalkan semula GST.

Ini kerana rakyat dilihat berhati-hati untuk berbelanja pada ketika ini disebabkan impak pandemik COVID-19 kepada kewangan mereka.

“GST ini ia bergantung kepada perbelanjaan rakyat, apabila rakyat berbelanja kerajaan akan dapat hasil. Namun 2021 ini rakyat masih berhati-hati untuk berbelanja jadi matlamat asal jana pendapatan tambahan sukar diperoleh,” katanya ketika ditemubual Astro AWANI pada Selasa.

Bercakap mengenai GST ini, tambahnya sistem pemulangan semula wang lebihan pembayaran atau refund perlu diperkasa supaya tidak menjejaskan lagi industri ekonomi.

“Jika tidak dibaiki proses refund ini ia akan jejaskan perniagaan kerana ada masalah kecairan. Ini perlu diberikan perhatian,” katanya.

Jelasnya fokus pada ketika ini seharusnya adalah untuk memastikan setiap isi rumah tidak terbeban dan mendapat segala manfaat daripada bantuan yang diberikan kerajaan.

Pengenalan semula GST ini juga menurut Timbalan Pengarah Insitut Dasar Ekonomi dan Kewangan UUM, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, tidaklah serumit seperti sebelum ini.

Pada pandangannya, negara sudah mempunyai ekosistem, fasiliti dann kemudahan namun perlu ditambah baik untuk memastikan pelaksanaan semulanya nanti berkesan.

“Penting untuk kita lakukan konsolidasi fiskal dalam masa 3-4 tahun ini dan GST adalah idea yang baik, namun bukan perlu kita laksanakan sekarang. 

“Kita ada pengalaman, fasiliti dan ekosistem dan pelaksanaannya tidak serumit sebelum ini pada tahun 2015, namun perlu diperbaiki sistemnya,” kata Dr Irwan.

Beliau juga berpandangan pengenalan semula GST tidak sesuai dijalankan ketika fasa pemulihan ekonomi iaitu pada tahun akan datang.


AWANI Pagi: Refleksi ekonomi 2020, jangkaan ekonomi 2021