Hamburg SUd, pengangkut kontena ke-12 terbesar dunia, adalah rangkaian perkapalan terbaharu yang menjadikan Westports Malaysia di Pelabuhan Klang sebagai pangkalannya.

Kapalnya "Cap San Marco", dengan kapasiti 9,600 unit bersamaan 20 kaki (TEU) dan satu daripada 12 unit antara 8,500 TEU dan 9,600 TEU untuk Perkhidmatan Amerika Selatan (ASIA 2), tiba di Westports buat pertama kali pada Sabtu.

Perkhidmatan ASIA 2 akan melihat Westports meluaskan liputan perkhidmatannya antara Amerika Selatan dan Timur Jauh, memperbaiki tempoh penghantaran dan hubungan bagi kargo yang dihantar menerusi pelabuhan itu.

Merasmikan upacara persinggahan pertama di Westports Malaysia itu adalah Jeneral Bersama Hamburg SUd bagi rantau Asia Pasifik, Stefan Kirschner.

"Kami optimis tentang pertumbuhan berterusan Asia terutamanya Asia Tenggara. Persinggahan perkhidmatan ASIA 2 di Westports Malaysia akan membolehkan kami memberi pelanggan kami waktu transit terbaik ke pasaran utama di Amerika Selatan dan Timur Jauh," kata Kirschner dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sementara itu, ketua pegawai eksekutif Westports Malaysia, Ruben Emir Gnanalingam berkata ketibaan pertama Cap San Marco di Westports menandakan pemulaan kerjasama jangka panjangnya dengan Hamburg SUd.

Sejajar dengan pembesaran terminal Westports dan peningkatan volumnya, kerajaan telah membuktikan komitmennya dengan mendalamkan lagi Selat Selatan dan meluaskan jalanraya sedia ada untuk memastikan pelabuhan itu boleh terus meningkatkan perkhidmatannya kepada komuniti perkapalan dan pengguna pelabuhan.

Westports kini dalam proses penambahbaikan atas jangkaan pertumbuhan volum bagi Kontena Terminal 7 (CT7), yang berukuran 600 meter pada kepanjangan dermaga.

Selepas siap, ia akan meningkatkan kapasiti penyenggaraan Westports daripada 9.5 juta TEU kepada 11 juta TEU.