KUALA LUMPUR: Gagasan Nadi Cergas Berhad (Gagasan Nadi Cergas) akan memulakan pembinaan masjid di bangunan pencakar langit Merdeka 118 bernilai RM33.9 juta, di sini, bermula 1 Disember ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 31 Mei 2023.

Nadi Cergas Sdn Bhd, anak syarikat milik kumpulan Gagasan Nadi Cergas menerima surat pelantikan daripada pemaju Merdeka 118, PNB Ventures Sdn Bhd bagi memulakan pembinaan masjid itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Gagasan Nadi Cergas Berhad, Wan Azman Wan Kamal berkata, kejayaan meraih kontrak pembinaan itu menunjukkan kemampuan syarikat dalam industri dengan kami terus meraih kontrak daripada pemaju ternama seperti PNB Ventures.

"Kami gembira dapat memainkan peranan dalam menyiapkan salah satu keperluan di dalam bangunan tertinggi di dunia ini, sudah pasti ia akan menjadi mercu tanda di peta Malaysia apabila berjaya disempurnakan," katanya dalam satu kenyataan.

Menerusi kontrak pembinaan masjid itu, Gagasan Nadi Cergas berjaya meraih kontrak keseluruhan bernilai RM1.3 bilion merangkumi projek perumahan mampu milik di Lembah Klang dan pembinaan kampus Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Dungun.

Menara Merdeka 118 terdiri daripada bangunan setinggi 118 tingkat dengan keluasan tiga juta kaki persegi yang merangkumi ruangan pejabat berkelas A dan segmen runcit.

Apabila siap pada 2022, menara itu dijangka akan mencapai ketinggian sekurang-kurangnya 644 meter dan sekaligus mengatasi Menara Shanghai yang berketinggian 632 meter.


*Berita asal di Dagangnews.com