KUALA LUMPUR: Pelaburan sebanyak AS$6.5 bilion bersamaan lebih RM27 bilion oleh Oracle membolehkan entiti Malaysia terutamanya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan awan termasuk dalam memupuk inovasi dan meningkatkan daya saing global.

Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, ia juga merupakan satu langkah penting ke arah merealisasikan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030) untuk mewujudkan 3,000 kilang pintar menjelang 2030.

"Keputusan Oracle untuk menubuhkan rantau awan awam pertamanya di Malaysia juga menyerlahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan digital terulung di Asia Tenggara.

"Jelas sekali, Oracle yakin terhadap terhadap potensi Malaysia sebagai hab inovasi teknologi dan pertumbuhan di Asia Tenggara.

"Sebagai gerbang serantau untuk infrastruktur awan dan aplikasi perisian berpangkalan di Malaysia, kawalan data dan kedaulatan digital penting untuk pelanggan Oracle, terutamanya industri kita yang ingin mengembang atau mengukuhkan sayap ke Asia Tengggara," katanya dalam ciapan di laman X, pada Rabu.

Sehubungan itu, Tengku Zafrul berkata, sekiranya mahu menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia, kepentingan kedaulatan undang-undang juga perlu diambil kira.

"Ini adalah antara faktor kita berjaya menarik banyak pelaburan digital ke Malaysia," ujarnya.


Pada Rabu, Oracle mengesahkan pelaburan lebih daripada AS$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi menubuhkan rantau awan awam pertamanya di Malaysia iaitu pelaburan utama terbaharu oleh sebuah global firma teknologi ke Malaysia.

Gergasi teknologi termasuk Microsoft, , Nvidia, Alphabet Google  dan ByteDance China telah mengumumkan pelaburan digital bernilai berbilion dolar ke dalam Malaysia sejak tahun lepas.

Kebanyakannya dalam perkhidmatan awan dan pusat data, menjana ledakan infrastruktur yang dipacu oleh permintaan yang semakin meningkat untuk kecerdasan buatan (AI).