Menerusi ulasan pendapatan tetap mingguan, bank pelaburan itu menjelaskan, peningkatan sebanyak RM7.8 bilion tersebut menandakan kenaikan bulanan paling ketara dalam setahun, menjadikan aliran masuk asing terkumpul ke dalam pasaran bon Malaysia bagi tempoh tujuh bulan tahun ini adalah RM8.7 bilion.
"Pegangan asing melonjak kepada 22.1 peratus atau RM265.4 bilion pada Julai 2024 daripada jumlah bon kerajaan terkumpul. Ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh tujuh bulan namun kekal di bawah paras sebelum pandemik (purata 2019: 23.1 peratus)," tambahnya.
MIDF Amanah memaklumkan, hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjangka 10 tahun yang menjadi penanda aras susut 15 mata asas kepada 3.72 peratus pada Julai 2024 daripada 3.87 peratus pada Jun 2024.
Secara amnya, aliran hasil MGS 10 tahun menunjukkan penurunan sepanjang Julai, dengan paras tertinggi bulanan adalah 3.88 peratus yang dicatatkan pada awal bulan.
"Kami mengekalkan sasaran MGS 10 tahun kami pada 3.68 peratus buat masa ini. Kami mengakui hasil 10 tahun mungkin mengakhiri tahun ini dengan prestasi lebih rendah berbanding sasaran akhir tahun kami disebabkan aliran masuk asing yang lebih pantas ke dalam pasaran bon domestik.
"Oleh itu, kami mungkin menyemak sasaran akhir tahun kami tidak lama lagi jika petunjuk makroekonomi menandakan kenaikan kukuh berterusan bagi pasaran bon," jelas bank pelaburan itu.
Sementara itu, terbitan baharu MGS dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) kekal stabil pada RM15.0 bilion bagi Julai 2024, dengan tiga lelongan berjumlah RM13.0 bilion.
Nisbah bida kepada terbitan purata adalah baik iaitu pada 2.49 kali, meningkat daripada 2.40 kali pada Jun 2024, dan terbitan swasta berjumlah RM2.0 bilion.
"Terbitan bersih meningkat semula kepada RM4.0 bilion selepas menguncup sebanyak RM6.5 bilion pada Jun. Setakat Julai, bon kerajaan terkumpul kekal pada sekitar RM1.20 trilion," jelasnya. - BERNAMA