Pasukan The Abnormals dari Singapura dinobatkan sebagai juara serantau CIMB ASEAN Stock Challenge 2015.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai USD12 ribu dan bakal melawat Bursa Saham London di United Kingdom.

Tiga pelajar dari Nanyang Technological University itu mengalahkan 2,444 pasukan lain dari 188 universiti dari lima negara ASEAN.

Hadiah disampaikan kepada pemenang oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di Bursa Malaysia pada Isnin.

Dalam pada itu, pasukan dari Zaman University, Kemboja dinobatkan naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai USD 8,000.

CIMB ASEAN Stock Challenge 2015 bermula pada 5 Oktober tahun lalu dan pusingan peringkat kebangsaan berlangsung di Indonesia, Thailand, Kemboja, Malaysia dan Singapura.

Manakala Malaysia menjadi tuan rumah untuk pusingan akhir peringkat rantau ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata cabaran sebegini akan diteruskan untuk mencungkil bakat muda dari segi perancangan, strategi, kerja berpasukan dan kemahiran dalam pelaburan saham.


“Kami harap dapat mencapai lebih 300 universiti berbanding 188 ketika ini.

“Apa yang penting adalah untuk memastikan kami mempunyai peserta atau pelajar yang berkualiti yang mengambil bahagian dan kita sudah pun dapat lihat ia bertambah baik selama ini,” jelas Tengku Zafrul.

Katanya sasaran untuk cabaran tahun ini ialah untuk menarik lebih daripada 6,000 peserta dari negara-negara ASEAN dan berkemungkinan akan membawa CIMB ASEAN Stock Challenge ke negara Vietnam.