Pasaran kerja Malaysia dijangka terus memberangsangkan pada 2016 walaupun berdepan cabaran ekonomi global yang tidak menentu.

Menurut Ketua Eksekutif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) Datuk CM Vignaesvaran, ini kerana terdapat beberapa sektor dalam negara yang masih akan berkembang pada 2016.

Walaupun mengakui majikan akan lebih berhati-hati dalam situasi ekonomi kini, beliau berkata masih wujud permintaan terhadap tenaga kerja hasil dari kegiatan ekonomi domestik tahun ini.
Majikan kini lebih berhati-hati tetapi mereka tidak berkata mereka tidak akan mengambil pekerja.

"Saya rasa majikan di Malaysia kini sudah lebih matang, dan kerajaan juga telah meletakkan perancangan yang baik di mana, walaupun dalam kegawatan ekonomi, masih akan ada sektor yang akan meningkat,” kata beliau dalam satu temubual ekslusif bersama Astro AWANI.

Vignaesvaran menambah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan pasaran kerja dan kadar pengangguran negara.

Menurut beliau ini kerana risiko PKS mengurangkan pekerja mereka apabila ekonomi mencabar adalah amat rendah.

“Jika anda bandingkan syarikat tempatan dengan syarikat-syarikat dari luar negara, perkara pertama yang mereka akan lakukan adalah mengurangkan kakitangan mereka dan mengeluarkan pelaburan mereka dari negara ini.

Syarikat tempatan sudah pun berada di sini, mereka masih perlu menjalankan operasi,” katanya.

Walaubagaimanapun, beliau pada masa yang sama mengakui bahawa ianya mungkin mencabar untuk negara mencapai sasaran pengangguran sebanyak 2.9% tahun ini berbanding 3.1% tahun lalu.

Tenaga kerja asing

Sementara itu mengulas mengenai pengambilan dan penggunaan tenaga kerja asing yang semakin meningkat di Malaysia, Vignaesvaran berkata ini merupakan suatu kelebihan, dan bukan bebanan kepada negara.

Vignaesvaran

Menurut beliau, tenaga kerja asing memainkan peranan yang penting dalam memastikan projek pembangunan infrastruktur negara berjalan dengan lancar.

Ini sekaligus memastikan perkembangan ekonomi negara berjalan dengan baik.
Jika anda tidak mempunyai pekerja asing, anda tidak boleh mengembangkan ekonomi.

“Itulah teori asasnya, jadi anda perlukan seseorang untuk melakukan tugas dan kerja buruh.

Saya rasa apa yang diperlukan sebenarnya ialah pengurusan yang lebih baik tentang bagaimana kita memilih pekerja asing, dan bagaimana kita meletakkan mereka, menguruskan mereka dan sebagainya.

Tetapi jika anda bertanya kepada saya, jika anda tidak mempunyai pekerja asing, anda tidak boleh mengembangkan ekonomi,” katanya.