Harga hartanah kediaman secara keseluruhan kekal stabil dengan hanya 0.2 peratus penurunan dari suku tahun kedua 2017 hingga suku tahun ketiga 2017, menurut Indeks Pasaran PropertyGuru (PMI).

Dalam kenyataan hari ini, PropertyGuru berkata, dari aspek tahun ke tahun (suku tahun ketiga 2016 hingga suku tahun ketiga 2017), harga permintaan menunjukkan penurunan berterusan sebanyak 2.3 peratus.

"Walaupun sentimen pengguna pulih, harga permintaan masih gagal menunjukkan perubahan tersebut. Ini turut menunjukkan penjual hartanah masih bergelut untuk mendapatkan pembeli dan berhadapan dengan tekanan untuk memberikan harga yang berpatutan bagi menjayakan sesebuah transaksi.

"Selangor dan Pulau Pinang turut menunjukkan penurunan harga pada setiap suku tahun. Ini turut menyumbang kepada kelembapan pertumbuhan pasaran di peringkat nasional," katanya.

Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez, berkata tanpa mengambil kira sebarang keadaan yang tidak dijangka, trend ini akan berterusan sepanjang tahun 2017 dan dijangka sehingga awal 2018.

Beliau berkata walaupun harga hartanah dikatakan berpatutan dan harga permintaan sederhana, indeks menunjukkan masalah ketidakmampuan kekal menjadi isu utama dengan ramai pembeli yang berpotensi menyatakan rasa tidak puas hati mengenai harga.

Data daripada indeks tersebut turut menunjukkan 50 peratus daripada rakyat Malaysia ingin membeli pada tahun ini.

"Mereka tetap berasakan harga hartanah masih mahal walaupun pasaran sedia ada stabil dan insentif disediakan oleh pihak pemaju. Kita perlu tunggu dan lihat reaksi pasaran pada suku tahun seterusnya," katanya.

PMI diambil daripada koleksi data PropertyGuru yang menyeluruh, yang termasuk (tetapi ia tidak tertakluk kepada) harga permintaan daripada 250,000 senarai hartanah kediaman di PropertyGuru.com.my.

-- BERNAMA