KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup tinggi pada Rabu seiring dengan aliran meningkat di niaga hadapan getah serantau di tengah-tengah peningkatan kebimbangan terhadap bekalan getah asli.

Sentimen pasaran turut mendapat rangsangan daripada data ekonomi Amerika Syarikat (AS), seterusnya mengurangkan kebimbangan terhadap potensi kemelesetan ekonomi AS, kata seorang peniaga.

"Namun begitu, kenaikan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar AS," katanya kepada Bernama.

Peniaga itu juga berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat bagi sesi dagangan ketujuh berturut-turut pada Rabu, mencecah paras tertinggi dalam tempoh 13 tahun, disokong oleh prospek bekalan global yang perlahan.

Beliau berkata keyakinan pengguna AS melonjak ke tahap tertinggi dalam tempoh enam bulan pada Ogos meningkat kepada 103.3 daripada 101.9 pada Julai, di tengah-tengah keyakinan terhadap prospek ekonomi.

"Peningkatan itu menunjukkan jangkaan keadaan perniagaan yang bertambah baik bagi tempoh enam bulan akan datang, memperlihatkan kemungkinan kemelesetan AS semakin berkurangan," katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) naik satu sen kepada 804.5 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 0.5 sen kepada 644.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal berada pada 804.5 sen sekilogram manakala lateks pukal ialah 646.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA