KUALA LUMPUR: Pasaran getah Malaysia ditutup tinggi pada Selasa, disokong oleh aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau susulan keuntungan dalam niaga hadapan getah Shanghai serta kenaikan harga minyak mentah yang stabil, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata ramalan cuaca buruk di Thailand dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar AS menyumbang kepada kenaikan harga itu.

"Jabatan Meteorologi Thailand memberi amaran mengenai hujan lebat dan banjir kilat di wilayah utara Thailand dari 6 hingga 12 Mei, 2024 yang berpotensi menyebabkan kerosakan tanaman," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata kebimbangan terhadap perkembangan terkini mengenai ketegangan geopolitik di Timur Tengah juga mengehadkan keuntungan selanjutnya.

Pada 5.01 petang, ringgit susut berbanding dolar AS kepada 4.7385/7415 daripada 4.7380/7405 ketika ditutup pada Isnin.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Standard Malaysia 20 (SMR 20) meningkat 13.5 sen kepada 771 sen sekilogram manakala lateks pukal menokok 3.5 sen kepada 723 sen sekilogram.

Sementara itu, pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 767 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 721.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA