KUALA LUMPUR: Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Selasa disebabkan kejatuhan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata niaga hadapan getah Jepun terus menurun pada hari ini, menjejaki kejatuhan harga getah sintetik dan minyak, sementara data ekonomi yang lemah dari China juga menyumbang kepada penurunan tersebut.

"Bagaimanapun, kejatuhan seterusnya dihadkan oleh kebimbangan peniaga terhadap kekurangan bekalan getah asli dan jangkaan pemotongan kadar faedah AS yang meningkat disebabkan peniaga menunggu petunjuk lanjut daripada mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS minggu ini," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata harga getah asli dijangka meningkat hasil daripada gangguan bekalan yang disebabkan oleh hujan dan banjir di Thailand, Myanmar, dan Laos.

"Terdapat laporan bahawa Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan kadar faedah pada mesyuarat dasar selama dua hari minggu ini tetapi membuka ruang kepada pemotongan kadar faedah seawal September dengan mengakui yang inflasi telah menghampiri sasaran bank pusat AS iaitu dua peratus," katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) turun 8.5 sen kepada 768.5 sen sekilogram (kg) manakala lateks pukal jatuh 0.5 sen kepada 629.5 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi getah fizikal oleh LGM untuk GMM 20 berada pada 763.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 628.5 sen sekilogram.

-- BERNAMA