Apa sahaja impian rakyat negara ini dapat dicapai seandainya mereka membuat perancangan awal untuk masa depan masing-masing.

Oleh itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prudential Assurance Malaysia Berhad (PAMB), Gan Leong Hin berkata, pihaknya mahu mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kestabilan kewangan sebagai faktor impian menjadi kenyataan.

Katanya, perlindungan yang diberi menjamin ketenangan fikiran demi memenuhi aspirasi mereka.

"Saya mahu katakan betapa bangganya Prudential menjadi sebahagian daripada KL2017. Kita sudah berada di Malaysia sejak 93 tahun dahulu.

"Kita adalah satu, kita adalah sebahagian daripada rakyat Malaysia, sebahagian daripada kejayaan negara ini. Kita mahu mewujudkan kesedaran dan paling penting memenuhi impian.


"Kita mahu semua mengambil langkah untuk mencapai impian masing-masing. Dengan sedikit perancangan kita percaya impian itu akan menjadi kenyataan," katanya pada Majlis Penajaan Kuala Lumpur 2017 (KL2017) di sini hari ini.

Jelasnya, PAMB sentiasa membantu untuk memastikan impian rakyat negara ini dalam perlindungan kewangan terjamin.

"Impian adalah sangat penting, bagi rakyat Malaysia untuk mencapai impian mereka, kita berharap dapat mengambil langkah-langkah untuk mencapai impian mereka. Sebagai syarikat insurans, kita memastikan kebebasan kewangan dan keamanan fikiran untuk kebaikan rakyat Malaysia.

"Kita juga berharap mereka sedar pelan ini adalah untuk masa depan mereka selain ia untuk meraikan pencapaian terutama kepada atlet berkenaan," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, PAMB sendiri sentiasa membantu dalam menyemarakkan semangat untuk berjuang di kalangan atlet menjelang KL2017.

"Kami berharap dapat bersama rakyat Malaysia dengan pencapaian kecemerlangan terutama dalam semangat kesukanan. Kami juga berharap dapat meningkatkan kesedaran semua untuk merancang masa depan dan menyalakan semangat kesukanan serta bangga dengan pencapaian atlet negara," jelasnya.

KL2017 akan berlangsung dari 19 sehingga 31 Ogos untuk Sukan SEA dan 17 sehingga 23 September untuk Sukan Para ASEAN.

Ia merupakan penganjuran keenam negara bagi temasya sukan tersebut.