KUALA LUMPUR : Dewan Perdagangan Digital Malaysia menegaskan, Bank Negara Malaysia (BNM) tidak sewajarnya menaikkan lagi Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang didakwa bagi menstabilkan mata wang ringgit.

Presidennya, Chris Danial Wong berkata, ia susulan kenaikan OPR sebanyak dua kali sebelum ini tidak langsung membantu menstabilkan mata wang negara berkenaan.

Menurut Chris, kenaikan OPR itu sekali gus membebankan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

"Kita nampak bahawa kenaikan OPR sebelum ini dua kali tidak sama sekali bantu stabilkan Ringgit. Malah, kalau kita tengok mata wang ringgit kita hari ini mencecah hampir 4.5 (berbandind dolar AS) . Jadi, kita tidak nampak kenaikan OPR ini boleh stabilkan mata wang kita. Namun, lebih membebankan ialah para peminjam dari PKS, daripada pengguna. Ia membebankan kita," katanya kepada Astro AWANI pada Selasa. 
 
BACA : BNM dijangka naikkan OPR 25 mata asas lagi minggu ini - Moody's Analytics

Ujarnya, kos perniagaan akan turut meningkat apabila kadar faedah dinaikkan, dan ia secara tidak langsung memberi kesan kepada pengguna.

"Ia sekali gus membuatkan harga makanan, harga makanan asas akan naik kerana para peniaga terpaksa menanggung beban kadar faedah yang tinggi. Jadi, inilah rantaian yang akan terganggu," ujarnya lagi.

Justeru, beliau mengesyorkan BNM menggunakan kaedah lain termasuk menaikkan kadar faedah bersasar, serta mengurangkan aliran tunai ringgit di pasaran luar negara bagi menstabilkan mata wang negara itu.

"Cadangan pertama, kita boleh menaikkan faedah secara bersasar dan bukan secara syarat am. Perniagaan dengan pencapaian bagus kita tidak naikkan (faedah) dan mereka yang tidak bagus kita naikkan, itu bersasar.

"Kedua, kita mencadangkan bahawa aliran tunai ringgit di pasaran atau di luar negara dikurangkan bagi menstabilkan ringgit.

"Jadi, pengguna dan peniaga membeli barangan yang mereka perlu supaya tiada permintaan yang terlampau tinggi sebab kita mengehadkan mata wang ringgit," katanya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar penambatan ringgit bagi menstabilkan mata wang negara itu di pasaran kewangan.