Nisbah hutang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) kerajaan, termasuk liabiliti kontinjen 15 peratus, tidak melebihi 70 peratus, dan Malaysia kini bergerak ke zon selamat, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Hutang kerajaan kini dihadkan kurang daripada 53 peratus, dan jika ia meliputi liabiliti kontinjen 15 peratus, angka itu belum melepasi 70 peratus ekonomi.

"Defisit negara akan menurun kepada kurang daripada 3.5 peratus dan menuju tiga peratus tahun depan. Jika anda membuat matriksnya, Malaysia kini menuju ke zon selamat," katanya menjawab pertanyaan pemberita mengenai sama ada liabiliti kontinjen akan menaikkan nisbah hutang kepada KDNK negara.

Wahid berkata demikian selepas menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak antara KPJ Healthcare Bhd, Pelaburan Hartanah Bhd dan Nadayu Properties Bhd untuk memajukan Hospital Pakar KPJ Damansara yang baharu berhampiran kawasan komersil Mutiara Damansara pada Khamis.

Dalam pembentangan Bajet 2015 minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata defisit fiskal negara susut daripada 6.7 peratus pada 2009 kepada 3.9 peratus pada 2013, dan angka itu dijangkakan berkurangan kepada 3.5 peratus kepada KDNK pada 2014.

Bagi 2015, pertumbuhan ekonomi dijangkakan kekal kukuh antara lima peratus dan enam peratus manakala defisit fiskal diunjurkan terus berkurangan kepada tiga peratus KDNK.

Menerusi rasionalisasi bahan api baru-baru ini, yang menyaksikan harga RON95 dan diesel masing-masing naik 20 sen seliter, kerajaan diunjurkan mengumpul RM1.3 bilion tahun ini, dan RM10 bilion tahun depan, dan mengurangkan lagi nisbah defisit fiskal negara kepada KDNK kepada 3.5 peratus pada 2014 dan 3.0 peratus tahun depan.

Nisbah hutang kerajaan kepada KDNK pada masa ini pada tahap 52.8 peratus, turun daripada 54.7 peratus pada 2013, suatu peningkatan berterusan berbanding hanya 32 peratus sebelum krisis kewangan Asia 1997/1998.