Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pembinaan koridor itu penting untuk pertumbuhan pembangunan ekonomi meliputi 45 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), malah diyakini akan terus meningkat melebihi paras itu, sekali gus turut menguntungkan negeri-negeri terlibat.
"RM700 billion untuk penyediaan infrastruktur membabitkan empat negeri itu diharap disegerakan untuk pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan. Pemimpin utama keempat-empat negeri ini juga telah pun bersetuju supaya Koridor Perindustrian Tengah ini dilaksanakan segera.
"Kalau kita berusaha selepas ini dengan bersungguh-sungguh, saya yakin ia melebihi paras itu dan akan peroleh jumlah lebih besar, malah melebihi yang sedia ada," katanya kepada pemberita pada program Town Hall 'Sejahtera Waghih Nogori' bersama Menteri Besar Negeri Sembilan di sini pada Isnin.
Beliau berkata pembinaan koridor itu juga bukan saja dapat meningkatkan KDNK, tetapi bakal mewujudkan banyak peluang pekerjaan terutama kepada penduduk setempat sekali gus meningkatkan taraf pendapatan dan kehidupan mereka.
Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu berharap isu membabitkan pemasangan khemah di sekitar Pantai Telok Kemang dapat diselesaikan menjelang hujung tahun ini dan perbincangan antara pengusaha bersama pihak berkuasa tempatan, Ahli Majlis serta wakil rakyat sedang dilakukan.
"Di Port Dickson ini kita ada banyak pantai, bukan di Telok Kemang sahaja, di pantai-pantai lain tiada melibatkan pemasangan khemah kerana semuanya kita kawal, hanya di Telok Kemang sahaja, jadi tidak adil kalau hanya disebabkan satu ini sahaja ia menjejaskan pelancongan, itu saya tidak setuju.
"Kita ambil maklum perkara ini sejak awal lagi, saya pentadbir kerajaan Negeri Sembilan, perkara ini bukan mudah, kita perlu menghormati penduduk setempat kerana mereka telah lama di sana, ini cara kita dan mereka juga mencari rezeki," katanya.
Aminuddin berkata pihaknya yakin akan ada perubahan yang akan dilaksanakan menjelang tahun hadapan bagi memastikan keharmonian semua pihak dapat dipenuhi.
-- BERNAMA