Mercedes-Benz akan melabur RM280 juta sehingga 2016 untuk melancarkan kenderaannya dengan teknologi canggih, meningkatkan fokus pelanggan dan perkhidmatan lepas jualan untuk memperkukuh dan memperluaskan ekuiti jenama dalam pasaran kereta mewah premium pada dekad kedua operasi di Malaysia.

Daripada pelaburan berkenaan, sebanyak RM80 juta akan digunakan untuk menaik taraf kilang di Pekan, Pahang, untuk memudahkan pengeluaran model C-Class, E-Class dan S-Class manakala bakinya akan dibelanjakan untuk pengembangan dan peningkatan rangkaian pengedar Mercedes-Benz.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Roland S. Folger berkata dengan pelbagai rancangan untuk menandakan dan meraikan 10 tahun pencapaian Mercedes-Benz di Malaysia, tumpuan diberikan kepada usaha mempromosikan evolusi jenama bagi menarik segmen pelanggan baru tanpa mengurangkan nilai utama jenama.

"Portfolio kenderaan kami akan diperluas dan dipertingkatkan dan kami teruja untuk memperkenalkan rangkaian baru kereta Mercedes-Benz dari kompak, eksekutif, mewah premium, SUV hingga kepada model super sports," katanya dalam satu kenyataan.

Sejak Mercedes-Benz Malaysia (MBM) ditubuhkan pada 2003 dan menyerahkan 40,649 kenderaan Mercedes-Benz - yang terbesar dalam kalangan jenama mewah premium sejak sedekad, Mercedes-Benz Malaysia menyasar dekad kedua cemerlang dengan terus memenuhi dan melebihi jangkaan peminat Mercedes-Benz dan bakal pelanggannya.

Penghantaran kereta penumpang meningkat lebih daripada 13 kali ganda daripada 3,008 untuk menjadi yang pertama dalam kalangan kenderaan mewah premium.

Sehingga kini, Mercedes-Benz Malaysia telah melabur sebanyak RM480 juta untuk memasang, mengedar, memasar dan menyenggara kereta penumpang dan kenderaan komersial Mercedes-Benz serta Mitsubishi Fuso.

Pada masa ini, Mercedes-Benz Malaysia mempunyai rangkaian peniaga dan penyenggara yang terbesar antara peserta kereta mewah premium dan dengan rangkaian pengedarnya yang melabur RM230 juta sehingga kini untuk menubuhkan 27 perniagaan di lokasi yang strategik di seluruh negara, meningkat daripada 18 pada 2003.

Folger berkata dalam tempoh tiga tahun akan datang, lebih RM200 juta akan dilaburkan untuk membaik pulih pengedaran sedia ada dan juga melancarkan konsep jenama 'Mercedes-Benz Presentation System II' (MPS II).

"MPS II menyasar untuk menyampaikan imejan konsisten pengedar Mercedes-Benz di seluruh dunia di samping mencerminkan kualiti produk dan perkhidmatan ditawarkan di peringkat pengedaran dalam memenuhi jangkaan jenama mewah oleh pemilik Mercedes-Benz.

"Konsep ini memberikan kami peluang untuk memajukan imej jenama di tempat jualan dan untuk mendapatkan pelanggan lebih teruja tentang jenama kami.

"Kami akan terus membina ekuiti yang kukuh dan pertalian dengan pelanggan kami dan usaha kami tidak terhad kepada hanya perkakasan," tambah beliau.

Dari segi pematuhan, MBM merupakan yang pertama dalam industri kereta pada 2011 untuk menguna pakai ikrar integriti dengan Institut Integriti Malaysia untuk menggalakkan amalan perniagaan dan etika.

Mengenai prospek bagi dekad akan datang, Folger menyatakan keyakinan bahawa Mercedes-Benz dan Mercedes-Benz Malaysia akan terus merangsang pelanggan dan bakal pelanggannya.

"Dari kereta penumpang hingga kenderaan komersial, kami mempunyai barisan kenderaan yang menarik untuk menawarkan pelbagai varian bagi memenuhi permintaan sektor masing-masing.

"Kami mempunyai teknologi, kereta, dan trak masa depan yang bergerak dengan bahan api alternatif, lebih bersih, lebih mesra alam dan cekap tanpa kompromi terhadap gaya, reka bentuk dan prestasi seperti yang kami sasarkan untuk yang terbaik, sentiasa, " kata Folger.