KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan skim insentif cukai yang inovatif untuk semua syarikat Digital Malaysia (MD).

Insentif yang turut mendapat sokongan Kementerian Kewangan itu dilihat memenuhi komitmen kerajaan di bawah Bajet 2024 untuk memperkenalkan insentif cukai berasaskan hasil.

Ia direka untuk meningkatkan ekonomi dengan memangkin pelaburan dalam sektor bernilai tinggi, memupuk penciptaan ekonomi baharu dan menggalakkan kelestarian alam sekitar.

MDEC menerusi satu kenyataan memaklumkan, insentif itu menawarkan pelbagai manfaat untuk syarikat yang menggunakan teknologi canggih seperti kecerdasan buatan, keselamatan siber, rantaian blok dan sambungan rangkaian lanjutan.

“Syarikat MD yang layak boleh mendapat manfaat daripada pengurangan kadar cukai pendapatan korporat yang kompetitif ke atas kedua-dua harta intelek (IP) dan pendapatan bukan IP, di samping elaun cukai pelaburan (ITA) untuk aktiviti perkhidmatan berintensifkan modal.

“Skim ini menawarkan insentif cukai untuk syarikat yang layak dalam dua kategori iaitu Pelaburan Baharu dan Pengembangan,” menurut kenyataan tersebut.

MDEC menambah, syarikat di bawah kategori Pelaburan Baharu boleh menikmati pengurangan kadar cukai sebanyak 0% ke atas pendapatan IP dan 5% atau 10% terhadap pendapatan bukan IP selama 10 tahun.

“Sementara itu, syarikat di bawah kategori Pengembangan boleh menikmati pengurangan cukai sebanyak 15 peratus selama lima tahun.

“Sebagai alternatif, syarikat di bawah kedua-dua kategori boleh memilih ITA antara 30% dan 100% atas perbelanjaan modal untuk aktiviti yang layak yang boleh diimbangi sehingga 100% daripada pendapatan berkanun selama lima tahun,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata, insentif ini merupakan faktor pengubah permainan untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab digital ASEAN.

“Ia sejajar dengan keperluan ekonomi semasa dan amalan terbaik antarabangsa, menyerlahkan komitmen kami untuk menerajui revolusi digital.

"Dengan menarik bakat global dan pelaburan dalam sektor pertumbuhan tinggi, kami menyasarkan untuk mewujudkan ekosistem digital yang berkembang maju, menjana pekerjaan bernilai tinggi, meningkatkan aktiviti R&D, dan menyepadukan teknologi termaju di dalam negara," tambahnya.