Malayan Banking Bhd (Maybank) menjalin pakatan dengan firma China, Ant Financial Services Group, bagi menyediakan kemudahan untuk pengguna Alipay yang ke Malaysia dengan perkhidmatan pembayaran tanpa sentuh.

Menurut bank itu, perkhidmatan baharu berkenaan akan digunakan di pelbagai cawangan gedung mewah, kedai bebas cukai hingga ke hotel-hotel popular dengan pengunjung dari China.

"Jalinan pakatan ini akan menyediakan perkhidmatan pembayaran yang pantas, lancar dan terjamin," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alipay, yang dikendalikan oleh Ant Financial, merupakan platform pembayaran mudah alih utama dan aplikasi gaya hidup dengan 450 juta pengguna di China, dan negara-negara lain.

Perkongsian strategik berkenaan dirasmikan pada majlis yang disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Penasihat Ekonomi Digital kepada kerajaan Malaysia, Jack Ma.

Menurut Maybank, perkhidmatan baharu itu bermula Mei ini. - BERNAMA