Maxis Bhd sudah memeterai satu Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan MBNS Multimedia Technologies Sdn Bhd (MMT) bagi memiliki baki 25 peratus kepentingan tiada kawalan dalam Advanced Wireless Technologies Sdn Bhd (AWT) pada harga RM15.83 juta.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Maxis berkata, antara yang dipersetujui dalam perjanjian itu adalah pembelian barangan dan perkhidmatan berjumlah RM3 juta daripada MMT.

AWT memiliki sepenuhnya UMTS (M) Sdn Bhd yang juga pemegang spektrum 2,100 megahertz (MHZ) diperuntukkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) selama 15 tahun dan tamat pada 1 April, 2018.

Maxis menyifatkan langkah itu detik penting bagi usaha transformasi kumpulan untuk melaraskan struktur syarikat berteraskan objektif agar lebih fleksibel dan bertindak pantas dalam pasaran telekomunikasi sedia ada yang serba pesat.

"Menerusi pembelian baki 25 peratus kepentingan dalam AWT dan pemilikan penuh AWT, Maxis dapat memudahkan aspek membuat keputusan bagi peruntukan spektrum 2,100MHz itu serta keutamaan lain yang menyokong pelan perniagaan serta objektif komersialnya.

"Infrastruktur rangkaian kekal menjadi komponen kritikal hala tuju transformasi Maxis Group bagi memberi pengalaman pengguna yang tiada tandingannya," katanya.

Menurutnya, pertimbangan pembelian sahan-saham AWT itu akan dilaksanakan secara tunai.

Maxis berkata transaksi itu tidak akan memberi sebarang kesan ketara terhadap modal berbayar dan terbitannya serta pegangan utama pemegang saham serta kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.

-- BERNAMA