KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) optimis mampu mencapai sasaran jumlah eksport lebih RM1.7 trilion menjelang 2025, sebagaimana ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata sasaran itu ditetapkan susulan kejayaan mencatat jumlah eksport lebih RM1 trilion bagi tempoh tiga tahun berturut-turut.

"Kerajaan kini menetapkan angka baharu RM1.7 trilion menjelang akhir 2025 dan kita (yakin) dapat mencapainya," katanya semasa berucap pada Majlis Iftar sempena Program Ihya' Ramadan MATRADE di sini, hari ini.

Lebih 400 orang merangkumi kakitangan serta anak-anak Rumah Kebajikan Baitul Ehsan Al-Khairi menyertai majlis berkenaan.

Reezal berkata jumlah eksport negara turut meningkat hampir lapan peratus pada awal 2024 yang menyaksikan Januari dan Februari mencatat eksport sebanyak empat peratus.

Malah, katanya, jumlah eksport bernilai RM1.5 trillion dapat diraih pada 2022 dan seterusnya RM1.46 trilion pada tahun lepas walaupun menghadapi cabaran dan kekangan ekonomi dunia.

Selain itu dalam majlis sama, Reezal turut memberi sumbangan kepada warga MATRADE dan Rumah Kebajikan Baitul Ehsan Al-Khairi melalui tabung Wakalah agensi berkenaan.

MATRADE berjaya mengumpul RM175,000 melalui tabung itu yang disumbangkan kepada kakitangan memerlukan seperti sedang menjalani rawatan kesihatan, mengalami musibah seperti banjir serta kematian.

-- BERNAMA