KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerjasama dengan gergasi e-dagang Amazon Global Selling untuk sama-sama mempromosikan produk buatan Malaysia ke pasaran global.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata bidang yang menjadi tumpuan adalah promosi bersama Program eTrade 2.0 MATRADE, yang bertujuan membantu syarikat baharu dalam memulakan e-dagang rentas sempadan dan mendidik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagaimana mereka dapat menggunakan alat dan sumber yang ditawarkan melalui inisiatif ini untuk memulakan perjalanan penjualan mereka secara global melalui Amazon.

"Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta agensinya, MATRADE, menyokong usaha ini melalui Program eTrade 2.0, yang dimulakan pada bulan Mac tahun ini, dengan tujuan meningkatkan eksport oleh PKS menerusi laman web e-dagang.

"Program ini juga memastikan PKS tetap berdaya tahan pada masa-masa yang mencabar ini, kerana hasil eksport yang dijana akan memberi manfaat kepada penerima di keseluruhan rantaian bekalan eksport," katanya.

Sementara itu, ketua Amazon Global Selling Asia Tenggara Bernard Tay berkata Amazon berharap dapat menyokong penjual Malaysia untuk mula mengeksport atau meningkatkan perniagaan eksport semasa mereka serta membantu mengembangkan kehadiran mereka dalam e-dagang merentasi sempadan.

Beliau menambah syarikat itu komited untuk menjadikan eksport dan e-dagang rentas sempadan lebih mudah bagi perniagaan Malaysia dan membolehkan mereka memanfaatkan sepenuhnya potensi masing-masing.

-- BERNAMA