NILAI: Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia mempunyai potensi besar untuk menyertai pasaran koko global, yang kini sangat bergantung kepada beberapa negara pengeluar koko.
Beliau berkata Malaysia adalah di antara pemain koko utama dunia terutamanya di peringkat pertengahan dan hiliran.
Industri koko menyumbang sebanyak RM8.2 bilion kepada hasil eksport negara. Pada 2023, Malaysia mengeluarkan 270 tan biji koko dan mengimport sebanyak 533,000 tan biji koko.
"Kementerian, bersama Lembaga Koko Malaysia (LKM) komited bukan sahaja untuk menggiatkannya semula, tetapi juga memperkayakan industri koko negara.
"Adalah menjadi tugas kita memperkasakan semula sektor huluan dan hiliran, memastikan pendekatan kita bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan tetapi juga menjaga alam sekitar dalam kalangan komuniti kita," katanya di majlis pelancaran KitKat Dark Borneo di sini semalam.
Johari berkata KitKat Dark Borneo yang menggunakan 100 peratus biji koko premium keluaran Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan hala tuju LKM dalam meningkatkan pengeluaran produk-produk coklat premium.
Beliau berkata kolaborasi dalam mengeluarkan produk seperti itu merupakan platform pemasaran yang menarik bagi jenama terkemuka seperti Nestle dan inisiatif berkenaan dapat memberi peluang kepada pengeluar biji koko tempatan mempamerkan keunikan hasil pertanian dengan pengurusan tanaman yang mampan.
"Bagi membangunkan industri koko, LKM menggalakkan tanaman secara skala besar melalui pembangunan kawasan tanaman koko bersama agensi-agensi kerajaan dan syarikat-syarikat perladangan swasta," katanya.
Beliau berkata LKM akan melaksanakan projek tanaman baharu koko seluas 350 hektar dan projek Pemulihan Kebun Koko seluas 2,126 hektar dengan peruntukan sebanyak RM9.5 juta.
"Saya berharap inisiatif ini dapat menghasilkan kesan limpahan ekonomi dan mempergiatkan aktiviti ekonomi di sepanjang rantaian bekalan. Seterusnya, pengisar di Eropah akan bergantung kepada negara ini untuk membekalkan biji koko disebabkan iklim dan cuaca yang sesuai," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Bhd, Juan Aranols berkata biji koko untuk KitKat Dark Borneo diperoleh melalui Inisiatif Koko Borneo Nestle (NBCI) yang dilancarkan pada September tahun lepas.
Beliau menambah NBCI ialah perkongsian strategik di antara Nestle Malaysia dan LKM untuk mengembangkan program Farmer Connect syarikat itu ke Malaysia Timur.
"Ini adalah usaha perladangan terbaharu oleh Nestle Malaysia untuk menyokong amalan pertanian yang lebih baik dan mampan, menyumbang kepada sekuriti makanan negara dan meningkatkan taraf hidup para petani.
"Pengembangan melalui NBCI ke Malaysia Timur menawarkan peluang besar bagi membangunkan bekalan koko tempatan dengan keadaan cuaca yang menggalakkan di Sabah dan Sarawak, sambil menyumbang ke arah meletakkan Malaysia kembali dalam landskap bekalan global untuk tanaman bernilai tinggi ini," katanya di majlis pelancaran itu.
Aranols menambah dengan menggunakan biji koko Trinitario yang ditanam di tanah subur gunung berapi Borneo dan iklim hutan hujan tropika, diikuti proses penapaian dan pengeringan matahari yang teliti, KitKat Dark Borneo mengandungi 52 peratus kandungan koko yang menghasilkan rasa keseimbangan sempurna dan berkrim, memberikan produk itu personaliti yang sangat berbeza dan moden.
Beliau berkata KitKat Dark Borneo adalah sebahagian daripada rangkaian produk KitKat yang disahkan halal dan dihasilkan di kompleks perindustrian Chembong, Negeri Sembilan yang dilengkapi dengan loji dandang biojisim baharu berkeupayaan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dengan ketara.
"Kemudahan ini adalah salah satu kilang konfeksi Nestle terbesar di Asia, dan memainkan peranan penting sebagai hab pembuatan eksport ke semua pasaran ASEAN dan destinasi-destinasi lain.
"Pendekatan kami termasuk melaksanakan amalan pertanian regeneratif seperti perhutanan tani dan tanaman selingan, yang membantu memastikan kesihatan tanah untuk jangka panjang, serta membangunkan hasil tanaman yang akhirnya meningkatkan pendapatan para petani tempatan," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Mon May 06 2024
Johari melihat koko yang diproses selepas Majlis Pelancaran Kitkat Dark Borneo di Lembaga Koko Malaysia, Nilai, 6 Mei 2024. Turut kelihatan, Juan. --fotoBERNAMA
Melaka umum dua bantuan khas kewangan minimum RM 2,600
Penjawat awam Negeri Melaka akan menerima dua bantuan khas kewangan bagi menghargai khidmat mereka sepanjang 2024.
Festival Light and Motion Putrajaya sasar kehadiran sejuta pengunjung
Mempromosi Putrajaya sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni cahaya dan teknologi yang unik.
China kenakan sekatan terhadap syarikat tentera AS
China umum sekatan terhadap tujuh syarikat tentera AS berikutan penjualan senjata ke Taiwan, menegaskan sokongan AS akan membahayakan keamanan serantau.
China lancar Sichuan, kapal amfibia generasi baharu
China melancarkan kapal amphibia generasi baharu, Type 0-7-6, dinamakan Sichuan, untuk memperkukuh tentera laut dengan teknologi inovatif seperti katapel elektromagnetik dan sistem penangkap.
Korea Utara alami korban besar – AS
Tentera Korea Utara dilaporkan mengalami korban besar di medan perang Rusia-Ukraine.
Menurut jurucakap White House, John Kirby, seribu anggota dilaporkan terbunuh atau cedera minggu lalu di wilayah Kursk, Rusia.
Menurut jurucakap White House, John Kirby, seribu anggota dilaporkan terbunuh atau cedera minggu lalu di wilayah Kursk, Rusia.
Iran tarik balik larangan ke atas WhatsApp & Google Play
Iran kurangkan sekatan internet dengan menarik balik larangan WhatsApp dan Google Play. Langkah ini mencetuskan perbincangan tentang penapisan dan akses media sosial global.
Presiden Jerman bubarkan Parlimen untuk pilihan raya
Steinmeier arahkan pilihan raya awal susulan kejatuhan gabungan kerajaan Scholz. Tinjauan menunjukkan parti Scholz ketinggalan di belakang blok konservatif pembangkang.
Israel serbu hospital Gaza, pesakit dan kakitangan dipindah
Tentera Israel menyerbu Hospital Kamal Adwan, utara Gaza, dan memaksa pemindahan ratusan pesakit dan orang awam, menyebabkan sebahagian kawasan hospital terbakar, kata pegawai Kementerian Kesihatan.
Serangan udara Israel di tempat lain di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk 15 dalam sebuah rumah di Gaza City, menurut petugas perubatan.
Serangan udara Israel di tempat lain di Gaza membunuh sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk 15 dalam sebuah rumah di Gaza City, menurut petugas perubatan.
Susunan batu marmar dengan tulisan ayat al-Quran tarikan baharu di Gua Musang
Batu seberat 100 metrik tan beri imej baharu kepada kawasan tersebut, sambil mempromosi batu marmar asli bermutu tinggi di jajahan itu.
Nahas J2-8243: Rusia dakwa kabus tebal dan serangan dron punca
Pesawat Azerbaijan Airlines ubah haluan akibat kabus tebal dan amaran dron Ukraine. Rusia beri jaminan sokongan siasatan sambil menegaskan pentingnya menunggu laporan rasmi.