Kajian indeks berkenaan telah dijalankan oleh Principal Financial Group menerusi kerjasama dengan Centre for Economics and Business Research (CEBR).
Dalam kenyataan bersama hari ini, dua pihak terbabit menyatakan aspek keterangkuman kewangan telah meningkat di serata dunia bagi tempoh dua tahun berturut-turut dengan semua rantau mencatat kemajuan.
"Ketika cabaran ekonomi menyukarkan perniagaan dan isi rumah mendapat akses terhadap pinjaman tahun ini, sektor awam dan swasta telah tampil membantu masyarakat yang menghadapi kemerosotan kewangan dengan 32 daripada 41 pasaran (78 peratus) mencatat peningkatan skor keterangkuman kewangan bagi tahun ke tahun," kata kenyataan itu.
Selain itu, Malaysia meningkat satu anak tangga kepada kedudukan ke-28 bagi aspek tahap pendidikan dan menokok empat tempat kepada kedudukan ke-26 bagi tahap literasi kewangan selain kekal di tempat ke-16 untuk sokongan sistem kewangannya.
Pada masa sama, Malaysia turut mencatat peningkatan dalam kewangan digital dengan penambahbaikan ketara dalam skor jumlah transaksi kewangan masa nyata serta kehadiran dan kualiti syarikat teknologi kewangan (fintech) selain skor ketersambungan dalam talian yang turut meningkat.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Principal Asset Management Malaysia Munirah Khairuddin berkata Malaysia dan India telah menjadi penerima manfaat ekonomi relatif susulan penguncupan ekonomi China.
"Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah mendapat manfaat dengan mengambil sebahagian daripada kapasiti tenaga kerja China manakala harga komoditi yang lebih tinggi telah meningkatkan pasaran eksportnya.
"Apa yang terus konsisten dan kami melihatnya sebagai pola sekular adalah kemajuan berterusan sistem kewangan berdasarkan pelaburan berterusan dalam pendigitalan yang mana pasaran di Asia Tenggara bangkit sebagai peneraju dunia," katanya.
Selain itu, kemajuan dalam tonggak sistem kewangan terus menjadi pemacu utama dalam peningkatan keterangkuman kewangan di peringkat global dengan sokongan sistem kewangan meningkat secara global sebanyak 5.9 mata, berkurangan sedikit daripada peningkatan sebanyak 8.1 mata pada 2023.
Di pasaran dengan pertumbuhan fintech yang kian pesat, lebih cenderung menyaksikan budaya tabungan yang lebih kukuh iaitu kira-kira tiga perempat (74 peratus) pasaran dengan data tersedia mempunyai simpanan domestik kasar sebagai peratusan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang melebihi tahap median global.
"Keadaan itu menunjukkan bahawa kadar simpanan isi rumah yang lebih tinggi dalam ekonomi dengan sektor fintech pesat membangun, menjadi bukti daya tahan isi rumah yang lebih besar ketika kemelesetan dan asas pertumbuhan melalui pelaburan," kata kenyataan itu.
Indeks Keterangkuman Kewangan Global itu menilai 42 pasaran berdasarkan tiga teras aspek berkenaan -- sokongan membabitkan masing-masing kerajaan, sistem kewangan dan majikan menggunakan data awam dan sumber berdasarkan tinjauan.
Kesemua teras itu mewakili pihak berkepentingan utama yang bertanggungjawab dalam menggalakkan keterangkuman kewangan.
-- BERNAMA