Malaysia membayangkan hasrat menawarkan lebih banyak peluang latihan kepada negara anggota Suruhanjaya Penerbangan Awam Afrika (AFCAC).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, yang mewakili negara di Sesi AFCAC ke-25 ke-25 di Mesir awal minggu ini, berkata ia termasuk latihan di tempat kerja untuk pensijilan lapangan terbang kecil, keselamatan landasan dan penerbangan.

"Malaysia mahu berkongsi pengalaman kami dalam bidang penerbangan dengan anggota AFCAC menerusi kursus-kursus seperti ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Liow berkata AFCAC dan Malaysia mempunyai usahasama yang berjaya sejak dahulu lagi dengan negara ini menyediakan pelbagai kursus latihan penerbangan kepada peserta dari 19 negara Afrika selama ini.

"Ini adalah usaha bagi membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dalam persiapan menghadapi cabaran dan menguruskan pertumbuhan sektor penerbangan awam di peringkat global, secara selamat dan berkesan," katanya.

Kenyataan itu juga menyebut kursus yang ditawarkan adalah relevan memandangkan Malaysia mempunyai 25 lapangan terbang termasuk enam lapangan terbang antarabangsa yang mendapat pengesahan Sistem Pengurusan Keselamatan.