Lima syor dikemukakan Suruhanjaya Siasatan (RCI) yang menyiasat kerugian dialami Bank Negara Malaysia dalam urus niaga mata wang asing (forex) pada 1990an kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pengerusi RCI, Tan Sri Mohd Sidek Hassan memaklumkan laporan setebal 400 muka surat itu menyediakan lima syor bagi lima bidang rujukan suruhanjaya itu.

Mohd Sidek menyerahkan kepada pihak istana untuk tindakan selanjutnya.

"Suruhanjaya telah menyembah maklum kepada Seri Paduka Baginda akan laporan suruhanjaya yang telah disediakan dalam masa tiga bulan.

"Seri Paduka akan membawa laporan itu kepada kerajaan dan saya telah menjelaskan dalam sesi bersama Seri Paduka tadi tentang hasil daripada Suruhanjaya tersebut.

"Terpulang kepada kerajaan untuk membuat tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan tersebut.

Terdahulu, Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas dan anggota-anggota suruhanjaya itu menghadap Sultan Muhammad V selama lebih sejam.

Mereka ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan.

Setiausaha Bahagian Pelaburan Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail dilantik sebagai Setiausaha Suruhanjaya.

Mohd Sidek berkata laporan berkenaan menyediakan lima syor bagi lima bidang rujukan Suruhanjaya itu.

"Terserahlah kepada kerajaan untuk menyiarkan laporan itu kepada umum atau tidak," katanya.

Pada 15 Julai lepas, Yang di-Pertuan Agong memperkenan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950.

Panel lima anggota RCI diketuai Mohd Sidek telah bersidang selama lapan hari dari 21 Ogos dan berakhir pada 19 Sept selepas memanggil 25 saksi.

Kabinet bersetuju menubuhkan RCI ini selepas dicadangkan oleh Pasukan Petugas Khas yang menyiasat kerugian urus niaga forex itu.