Tiga agensi kerajaan akan dipanggil dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam masa terdekat susulan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2015 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, ujar Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin.

Agensi terlibat ialah Pengurusan Pembinaan dan Pembaikan Rumah Mangsa Banjir (Agensi Pengurusan Bencana Negara), Program Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Negeri Sabah (Jabatan Air Negeri Sabah) dan Pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (Jabatan Imigresen Malaysia.

"Kita akan panggil agensi berkenaan secepat mungkin. Kalau tengok pada laporan itu, ada pelbagai penarafan. Ada yang memuaskan, dan ada yang tidak memuaskan," katanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Beliau sebelum itu mendengar taklimat daripada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.

Secara keseluruhannya, 38 agensi di bawah kerajaan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan serta 50 kerajaan Negeri, Badan Berkanun Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Majlis Agama Islam telah diaudit untuk Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 2015.

"Pelaksanaan 38 pengauditan Prestasi dan Pengurusan Anak Syarikat bagi agensi di bawah kerajaan persekutuan dan badan berkanun persekutuan telah melibatkan enam kategori pengauditan iaitu program, pembinaan, keselamatan, pengurusan hasil, perolehan dan syarikat," tambahnya.

Dalam pada itu katanya, pada tahun 2015, hasil kerajaan Persekutuan adalah berjumlah RM219,088 juta berbanding RM220,625 juta pada 2014.

"Selain itu, perbelanjaan mengurus dan pembangunan pula masing-masing berjumlah RM219,589 juta dan RM39,503 juta," katanya lagi.