KUALA LUMPUR: Peningkatan kos, pokok tua, harga tidak menentu dan tekanan alam sekitar antara cabaran besar kepada sektor perladangan sawit ketika ini dengan mempelbagaikan perniagaan atau diversifikasi adalah jawapan untuk kelangsungan masa depan, kata RHB Investment Bank.

Firma penyelidikan itu berkata, salah satu cabang baru perniagaan adalah menceburi sektor tenaga boleh baharu (RE) dan pulangan daripada perniagaan ini adalah sehingga 26.4 kali ganda lebih tinggi bagi setiap hektar berbanding mengusahakan sawit.

Malah, kata RHB Investment, dengan menyewa tanah bagi tujuan perniagaan solar sahaja boleh memberikan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) dua kali ganda kepada syarikat perladangan.

"Kadar sewa boleh mencecah RM10,000 bagi setiap hektar setiap tahun, yang masih lebih tinggi daripada EBIT per hektar setiap tahun untuk mengendalikan ladang kelapa sawit.

"Pada masa ini, SD Guthrie sedang menyewa 24 tapak dalam estetnya kepada pengendali solar, yang menempatkan keseluruhan 583MW, yang akan mengambil kira-kira 583-874 hektar tanah," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Mempericikan mengenai potensi perniagaan solar kepada syarikat perladangan, RHB Investment berkata, berdasarkan pengiraan kasar, 1 hektar tanah boleh menghasilkan sebanyak RM134,768 dalam EBIT untuk ladang solar berbanding hanya RM5,100 untuk kelapa sawit.

Katanya, ini bermakna keuntungan per hektar untuk penjanaan tenaga solar adalah 26.4 kali lebih menguntungkan daripada ladang kelapa sawit, yang mana tidak termasuk tempoh penubuhan selama 3-4 tahun.

"Walau bagaimanapun, sekiranya tarif solar berskala besar (LSS) mengalami pengurangan dari masa ke masa, jurang dalam margin ini mungkin akan menyusut.

"Pada masa ini, kami faham bahawa setiap MW kapasiti solar akan menelan kos kira-kira RM2.5 juta untuk dibina, dan memerlukan antara 1-1.5 hektar tanah," jelasnya.

RHB Ivestment berkata, selain daripada inisiatif RE, syarikat yang mempunyai bank tanah yang sesuai juga boleh memberi tumpuan lebih kepada memanfaatkan tanah dengan membangunkan projek hartanah.

Pada masa ini, katanya, syarikat-syarikat seperti KL Kepong dan Genting Platations mempunyai perniagaan pembangunan hartanah, yang telah memisahkan kawasan-kawasan untuk pembangunan hartanah daripada kawasan tanaman mereka.

"Banyak syarikat perladangan di bawah liputan kami seperti IOI, SDG, KLK, FGV, dan GENP mempunyai tanah di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi untuk pembangunan hartanah seperti Johor, Pahang, Selangor, dan Negeri Sembilan," ujarnya.

Sementara tu, katanya, potensi pemenang dalam permainan diversifikasi ini adalah SD Guthrie, KLK dan IOI memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas di kawasan yang sesuai dalam Semenanjung Malaysia untuk pembangunan projek RE, pembangunan hartanah, dan penjualan tanah.

"Mengekalkan saranan Neutral sektor perladangan. Kami percaya syarikat yang lebih besar seperti SDG, KLK dan IOI akan mempunyai peluang yang lebih baik untuk menghadapi masalah semasa industry," katanya yang menjangkakan harga minyak sawit mentah akan diniagakan sekitar RM3,500 setan bagi beberapa bulan akan datang.- DagangNews.com