Sebanyak 4 perjanjian bernilai RM1.96 bilion dimeterai Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) menerusi kerjasama dengan sektor swasta. Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafique, berkata keempat-empat projek itu bertujuan memastikan masyarakat tempatan di wilayah utara meraih manfaat melalui pewujudan pekerjaan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Pencapaian itu diumumkan pada akhir mesyuarat majlis NCIA ke-10 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan dijangka menjana 3,650 pekerjaan serta peluang perniagaan.

"Tanpa mengambil kira jumlah pelaburan, objektif mutakhir kami di Koridor Utara ialah meneruskan agenda pertumbuhan dengan ekuiti sosial," kata Redza.

Memorandum perjanjian bagi projek-projek itu ditandatangani antara NCIA dan JPB Asia Pacific Sdn Bhd, UWC Industrial Sdn Bhd, Unifortune Holdings Sdn Bhd, Seri Chenang Resort and Spa Langkawi.

Pertukaran dokumen disaksikan oleh Najib; Menteri Besar Kedah, Datuk Paduka Muhkriz Mahathir; Menteri Besar Perak, Datuk Seri DiRaja Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Besar Perlis, Azlan Man; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Walaupun berdepan suasana ekonomi global yang belum menentu, NCIA tetap menyasarkan pelaburan bernilai RM10 biliion di koridor utara tahun ini.

Redza berkata minat yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat asing terhadap projek-projek Koridor Utara ini menggalakkan."Pertukaran dokumen hari ini akan menghasilkan bukan sahaja pemindahan teknologi, malah juga pengetahuan dari Kanada, Amerika Syarikat dan Jepun kepada masyarakat," katanya.

Meskipun kerja-kerja utama digerakkan ke arah memperluaskan dan meningkatkan peranan sektor swasta dalam pembangunan ekonomi, NCIA berhasrat melaksanakan konsep nilai berkongsi, rumusan 'menang-menang' yang merujuk kepada keadaan saling bergantung yang wujud secara semula jadi antara perbadanan itu dan masyarakat.