KUALA LUMPUR: Kumpulan MR DIY Group (M) Bhd merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM155.21 juta bagi suku kedua tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun lalu, peningkatan daripada RM150.32 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini di sebalik peningkatan marginal pendapatan kepada RM1.2 bilion, berbanding RM1.1 bilion yang dicatatkan dalam tempoh perbandingan yang sama.

Ia meningkatkan pendapatan sesahamnya kepada 1.64 sen, sekali gus menyaksikan lembaga pengarah kumpulan itu mengumumkan dividen 1.20 sen sesaham.

Dalam perbandingan separuh tahun, keuntungan bersih kumpulan tersebut meningkat kepada RM300.09 juta daripada RM278.09 juta pada separuh tahun 2023, sementara pendapatannya meningkat kepada RM2.34 bilion daripada RM2.15 bilion dalam tempoh sama.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata pihaknya menjangkakan prestasi kumpulan itu akan dipacu oleh pemulihan sentimen pelanggan, yang didorong oleh petunjuk ekonomi yang positif, pemulihan ringgit dan kemasukan pelaburan langsung asing.

"Kami telah berjaya dalam usaha strategik kami untuk terus membina perniagaan yang memberikan pulangan yang konsisten dan mampan kepada pemegang saham, dan rekod prestasi kami menerusi pembayaran dividen sejak penyenaraian kami pada 2020 mencerminkan perkara ini," katanya.