KUALA LUMPUR: Keuntungan bersih Hap Seng Consolidated Bhd melonjak enam peratus kepada RM950.66 juta bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM900.43 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan cukai yang lebih rendah berikutan keuntungan modal yang tidak tertakluk kepada cukai.

Perolehan untuk tahun fiskal meningkat 18 peratus kepada RM7.11 bilion daripada RM6.01 bilion, kata syarikat itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Khamis.

Bagi suku keempat, Hap Seng mencatatkan penyusutan dalam keuntungan bersih sebanyak RM98.02 juta berbanding RM300.53 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu, terjejas oleh penurunan sumbangan daripada bahagian perladangan dan hartanah.

Perolehan pada suku keempat juga merosot kepada RM1.79 bilion berbanding RM1.84 bilion sebelum ini berikutan sumbangan yang lebih rendah daripada segmen perladangan, hartanah dan pembiayaan kredit.

Bagaimanapun, sumbangan yang lebih tinggi daripada bahagian automotif, perdagangan dan bahan binaan telah mengurangkan pengurangan dalam pendapatan, katanya.

Hasil perladangan bagi suku tersebut sebanyak RM143.6 juta adalah 26 peratus lebih rendah daripada suku yang sama tahun sebelumnya iaitu RM194.8 juta disebabkan oleh kelemahan dalam harga jualan purata membabitkan semua produk sawit dan jumlah jualan minyak sawit mentah yang agak rendah.

"Pendapatan bahagian hartanah untuk suku keempat sebanyak RM124.1 juta adalah 75 peratus di bawah suku yang sama tahun sebelumnya iaitu RM502.1 juta.

"Pada suku yang sama sebelum ini, jualan tanah menyumbang RM372.4 juta kepada hasil bahagian, sedangkan tiada penjualan tanah sedemikian pada suku keempat," katanya.

Syarikat itu ketika bercakap mengenai unjuran akan datang menjelaskan ia optimistik secara berhati-hati mengenai prospeknya dalam tahun kewangan semasa.

-- BERNAMA