KUALA LUMPUR: Impak limpahan daripada krisis perbankan di Amerika Syarikat (AS) terhadap ekonomi sebenar dijangka tidak signifikan atau ketara bagi rantau Asia Pasifik.

"Ini menunjukkan bahawa dalam kalangan pengeluar AS, mereka tidak mengalami perubahan atau bertindak mengurangkan prospek terhadap unjuran pertumbuhan masing-masing," katanya pada sesi webinar mengenai unjuran ekonomi bagi China dan Asia Pasifik, hari ini.

Kuijs berkata susulan inflasi teras AS yang masih tinggi, Rizab Persekutuan (Fed) dijangka bertindak menaikkan kadar dasarnya sekali lagi pada tahun ini, sekali gus membayangkan tiada sebarang penurunan kadar terbabit di negara itu.

Malah, katanya, Fed juga perlu bertindak menangani kemelut berkenaan dengan menggunakan operasi mudah tunai dan mengekalkan dasar kadar faedah dalam ekonomi benar.

Selain itu, mengulas pertumbuhan China, Kuijs berkata proses pemulihan sedang berlaku yang turut memaparkan petunjuk ekonomi lebih positif.

Keadaan itu didahului oleh penggunaan dan perkhidmatan dengan pasaran perumahan secara tentatifnya telah susut dan mulai pulih dan dapat membantu dalam usaha memperluas lagi pemulihan terbabit.

"Kami menjangkakan China mencatat keluaran dalam negara kasar (KDNK) sekitar 5.5 peratus tahun ini dan susut kepada 5.0 peratus tahun depan.

"Selain itu, kami juga tidak menganggap pemulihan di China akan membawa kepada inflasi yang tinggi sebagaimana berlaku di Barat," katanya.

Bagi bahagian lain Asia, Kuijs berkata negara-negara terbabit masih merasai kesan keadaan global yang perlahan dan kenaikan kadar faedah di serata rantau itu.

Menurutnya, terdapat data-data ekonomi yang jelas pada akhir tahun lepas dan permulaan 2023 yang menunjukkan berlakunya kelembapan ekonomi.

"Pada masa sama, kami menjangkakan pertumbuhan dalam 2023 adalah lebih rendah daripada tahun lepas," katanya.

Menurutnya, unjuran pertumbuhan Malaysia bagi 2022 adalah pada 8.7 peratus tahun ke tahun manakala 2023 (3.2 peratus) dan 4.7 peratus pada 2024.

-- BERNAMA