JOHOR BAHRU: Kerajaan meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200 juta untuk usahawan mikro, industri kecil dan sederhana (IKS) serta informal yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Tan Sri Noh Omar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan itu yang melibatkan sebanyak RM50 juta bagi usahawan mikro, RM100 juta bagi IKS dan RM50 juta untuk usahawan informal.

Beliau berkata peruntukan itu dijangka diberikan mulai Mac depan dan setakat minggu lepas, MEDAC telah menerima sebanyak 13,600 permohonan.

"Untuk usahawan-usahawan mikro misalnya yang terlibat dalam banjir, akan diberi one-off RM3,000.

"Kemudian usahawan-usahawan IKS pula akan diberikan pinjaman maksimum RM100,000, tanpa apa-apa cagaran dan tanpa faedah serta diberi moratorium selama setahun.

"Usahawan informal pula dibenarkan membuat pinjaman maksimum RM10,000 tanpa faedah," katanya pada sidang media selepas Merasmikan Program Back To School 2022 UDA Holdings Berhad di Angsana Johor Bahru Mall, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai bantuan bagi usahawan yang terjejas akibat COVID-19 dan banjir.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) MEDAC Datuk Zamri Salleh dan Pengerusi UDA Datuk Norliza Abdul Rahim.

Noh berkata sebelum ini kerajaan telah memperuntukkan dana berjumlah RM200 juta di bawah Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) sebagai suntikan modal pusingan untuk memulih dan memulakan semula perniagaan yang terjejas banjir dan COVID-19.

"Sekarang ini saya dengar ramai mengadu lambat dapat (bantuan), tetapi sebenarnya peruntukan yang RM200 juta kerajaan bagi itu sudah habis.

"Jadi saya telah merayu dan dapat tambahan peruntukan. Justeru itu saya ingin ucap terima kasih kepada Perdana Menteri yang begitu prihatin terhadap usahawan yang terjejas," katanya.

Sementara itu Noh berkata sebanyak 847 penyewa premis perniagaan di kompleks beli-belah di bawah seliaan UDA seluruh Malaysia, turut diberikan tambahan moratorium selama enam bulan.

Terdahulu, seramai 200 pelajar daripada sembilan sekolah di bandar raya ini menerima sumbangan bernilai RM200 berupa beg sekolah, alat tulis dan baucar pembelian pakaian seragam sekolah.

Noh berkata inisiatif UDA itu merupakan komitmen kementeriannya dan agensi dalam membantu golongan yang memerlukan dan berharap agar usaha murni itu dijadikan contoh, sekali gus menggalakkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan dan korporat turut sama menghulurkan bantuan kepada masyarakat terkesan.

Sementara itu, Norliza berkata Program Back To School 2022 itu juga merupakan satu langkah proaktif UDA dalam mendekati komuniti di sekitar wilayah perniagaan UDA , dan meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak kembali ke sekolah bulan depan.

"Usaha ini turut diharapkan dapat meniupkan kembali semangat kepada semua pelajar-pelajar bagi memulakan sesi persekolahan baharu," katanya.

-- BERNAMA