Malaysia akan membuat keputusan mengenai penyertaannya dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) pada suku ketiga tahun ini, selepas semua perbincangan selesai, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata proses rundingan TPPA telah berlangsung selama lima tahun dan pemimpin negara-negara yang menyertai komited untuk menamatkan perbincangan menjelang separuh pertama 2015.

TPPA merupakan inisiatif perjanjian perdagangan bebas membabitkan 12 negara iaitu Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Malaysia, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi pleno taklimat umum mengenai TPP, beliau berkata pada peringkat tempatan, lebih 100 perbincangan dan rundingan diadakan dalam tempoh beberapa tahun lepas oleh kementeriannya bagi merapatkan jurang maklumat TPPA, dan kini tahap pemahaman mengenai kandungan rundingan adalah lebih baik.

Beliau berkata pada masa ini, rundingan bagi 10 daripada 29 bab TPPA telah dimuktamadkan, 10 dalam proses dimuktamadkan sementara sembilan lagi yang memerlukan lebih banyak usaha melibatkan antaranya hak pemilikan harta antarabangsa, alam sekitar, perusahaan milik negara, pelaburan serta perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata Price WaterhouseCoopers Malaysia dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia telah ditugas menjalankan analisis kos faedah (CBA) serta kajian mengenai kepentingan negara.

"CBA kedua dan terakhir akan dimuktamadkan awal Julai dan kemudian akan dibincang di Parlimen, juga pada Julai dan ini adalah kali pertama satu perjanjian perdagangan bebas dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

"Kami benar-benar komited terhadap ketelusan dan perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak akan menandatangani TPPA tanpa kelulusan Kabinet dan Parlimen," kata Mustapa.

Beliau berkata keputusan akan dibuat berpandukan rumusan CBA dan Parlimen sama ada faedah penyertaan lebih banyak berbanding harga yang perlu dibayar.

Mustapa menekankan bahawa ekonomi Malaysia bergantung kepada pelaburan asing yang menyediakan manfaat limpahan yang besar, justeru rakyat Malaysia perlu faham mereka harus menjadi sebahagian daripada ekonomi dunia.

TPPA penting dalam mengesahkan peranan Malaysia sebagai negara perdagangan utama menerusi pembukaan peluang untuk syarikat Malaysia menembusi pasaran 800 juta orang dengan gabungan keluaran dalam negara kasar bernilai US$27.5 trilion, kata Mustapa.