Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjelaskan bahawa wujud kepentingan dalam mengekalkan hubungan diplomatik dengan negara-negara terlibat meskipun memiliki kepentingan serta pandangan politik yang berlainan.
Beliau memberi contoh, meskipun memiliki pandangan yang bertentangan mengenai isu melibatkan Palestin khususnya Gaza, Canselor German, Olaf Scholz telah memberi jaminan bahawa Malaysia akan dijadikan sebagai destinasi utama bagi pelaburan industri E&E.
"Walaupun beberapa pendirian kita terutama soal Gaza (agak) keras dan berbeza (dengan kebanyakan negara Barat), (juga) bertentangan dengan Amerika, tetapi dari segi pelaburan (tidak memberikan impak negatif), dia juga jaga kepentingan dia, kita juga jaga kepentingan kita, sebab itu pelaburan tetap bertambah,
"Tetapi (dalam masa yang sama) kita juga beralih kepada negara China, dari sudut E&E juga, (melibatkan) company kenderaan elektrik (EV), (negara) China dapat mengatasi kos dan juga dari segi efficiency terutamanya dalam pengeluaran bateri," katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena sesi dialog Belanjawan 2025 bersama pemain industri elektrik dan elektronik (E&E) di SilTerra Malaysia, Kulim pada Khamis.
Turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan eksport produk E&E negara ke AS adalah sebanyak 26 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport industri terbabit di negara berkenaan.