Kenanga Investors Bhd - anak syarikat K&N Kenanga Holdings Bhd - mengumumkan Isnin bahawa keseluruhan perniagaan ING Funds Bhd telah dipindahkan kepada Kenanga Investors Bhd.

Pemindahan ING Funds Bhd yang termasuk semua aset dan liabilitinya merupakan satu perkembangan penting bagi proses integrasi itu, kerana kedua-dua institusi sekarang beroperasi sebagai satu entiti, kata Kenanga dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami amat teruja dengan penyelesaian proses penggabungan ini serta prospeknya.

"Dengan ini, Kenanga Investors telah meningkat daripada tempat ke-16 ke tempat ke-12 dari segi aset di bawah pengurusan (AUM) unit amanah," kata pengarah urusan kumpulan K&N Kenanga Holdings Bhd Chay Wai Leong.

Chay berkata Kenanga kini akan mempunyai lebih RM5 bilion dalam AUM serta mempunyai asas pelanggan yang lebih besar iaitu melebihi 30,000 pelabur.

Beliau juga berkata syarikat itu adalah satu daripada lapan penyedia Skim Persaraan Swasta (PRS) di negara ini dan berhasrat menawarkan produk PRS yang relevan kepada pasaran.

Kenanga Group, didorong oleh agenda pertumbuhannya, telah memulakan rancangan pertumbuhan untuk mengembangkan perniagaannya dan mengukuhkan kehadirannya di Malaysia.