Agensi-agensi antarabangsa telah mengunjurkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2021 akan berada dalam sekitar 6.3 peratus hingga 7.5 peratus, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Menteri Kewangan berkata unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam mengurus COVID-19, serta memacu dan memelihara ekonomi ke arah pemulihan dan pertumbuhan.
"Memandangkan Malaysia adalah ekonomi terbuka, sama ada pertumbuhan kita akan bentuk U ataupun V, ia juga tertakluk kepada faktor luaran seperti pemulihan rakan dagang utama kita serta rantaian bekalan global,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada acara “Invest Malaysia 2020” yang berlangsung di sini hari ini.
Malaysia mencatatkan hanya lima kes baharu COVID-19 pada Isnin, dengan 198 kes aktif serta kadar pemulihan sekitar 98 peratus setakat ini.
"Kadar jangkitan mungkin rendah di negara kita, tetapi masyarakat sentiasa diingatkan agar jangan terlalu leka.
"Setiap orang telah diminta untuk terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk pelbagai sektor dan aktiviti bagi mencegah jangkitan baharu di negara ini,” kata beliau.
Tengku Zafrul berkata untuk 2020, KDNK telah dianggarkan dalam sekitar -3.8 peratus hingga 0.5 peratus oleh pelbagai agensi.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengunjurkan pertumbuhan ekonomi berada dalam lingkungan -2.0 peratus hingga – 0.50 peratus, Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) (-3.8 peratus) dan Bank Dunia (-3.1 peratus).
"Ini memang dijangka sepenuhnya memandangkan lebih 150 daripada 195 negara di dunia diramal mencatatkan pertumbuhan negatif untuk tahun ini.
"Tetapi, apa yang paling penting adalah memastikan krisis kesihatan dunia tidak berubah menjadi krisis ekonomi. Dan itu sebabnya, Malaysia telah memperkenalkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), kata beliau.
Sementara itu, mengenai kesihatan dan daya tahan pasaran modal Malaysia, Tengku Zafrul berkata sejak dekad lepas, pasaran modal Malaysia telah berkembang pada purata 5.1 peratus setiap tahun dan bernilai lebih RM3 trilion, yang kini dua kali lebih besar saiz KDNK negara.
Ini adalah hampir sama dari segi jumlah permodalan pasaran ekuiti serta nilai bon yang belum dijelaskan, kata beliau.
Tengku Zafrul menambah FBM KLCI juga telah menunjukkan ketahanan berbanding negara-negara lain pada akhir Jun, 2020.
"Dan antara pasaran baharu muncul ASEAN, pasaran kita adalah yang terbaik. Pada urus niaga penutup semalam, FBM KLCI hampir dapat mengumpulkan lebih RM200 bilion permodalan pasaran, menyaksikan pasaran kembali ke paras yang pernah dilihat pada awal tahun,” kata beliau.
Dari segi jumlah aset yang diuruskan oleh pengurus dana, Malaysia telah menyaksikan purata pertumbuhan tahunan sembilan peratus kepada RM823 bilion pada akhir 2019, dipacu oleh pelaburan dalam dana unit amanah, yang menyaksikan purata pertumbuhan tahunan 8.7 peratus sepanjang tempoh yang sama, dengan jumlah nilai aset bersih RM482 bilion.
"Tanpa ragu, pasaran modal telah berperanan sebagai platform utama menggerakkan simpanan dan pelaburan dengan memperuntukkan sumber dengan cekap bagi membiayai perniagaan yang mewujudkan pekerjaan dan kekayaan,” kata beliau.
Pada bulan Mei sahaja, negara ini menyaksikan purata nilai dagangan harian meningkat 65 peratus berbanding April dan mencatatkan nilai dagangan harian tertinggi berjumlah RM9 bilion.
"Jumlah dagangan harian sebanyak 11 bilion saham direkodkan pada bulan yang sama, paras yang tidak pernah dicapai sejak 2010. Ini mencerminkan keyakinan pelabur dalam pembukaan semula ekonomi secara berperingkat di Malaysia, disokong oleh persekitaran kadar faedah yang rendah,” kata Tengku Zafrul.
Sementara itu, pelabur runcit tempatan telah membeli bersih lebih daripada RM6 billion pada akhir Jun, dengan nilai purata dagangan harian (ADV) RM0.9 bilion, iaitu 90 peratus daripada ADV institusi tempatan.
"Ini disokong lagi oleh pertumbuhan ADV sebanyak 128 peratus berbanding pertumbuhan tahunan purata 9.7 peratus sejak tiga tahun lepas.
"Seperti yang sering diungkap, di sebalik setiap krisis, terdapatnya peluang. Kita percaya pelabur yang kembali ke pasaran Malaysia pada bulan Mei untuk melabur dalam syarikat yang meraih keuntungan bukan sahaja daripada pembukaan semula ekonomi, tetapi dari sejumlah langkah-langkah rangsangan dan insentif cukai yang ditawarkan oleh kerajaan,” tambah beliau.
Selain daripada itu, Tengku Zafrul berkata pelbagai penarafan global juga telah mengesahkan kedudukan Malaysia dalam pelbagai metrik dan ini adalah bukti terhadap dasar dan langkah kukuh negara.
Antaranya, Malaysia berada di kedudukan keempat dunia dalam menangani krisis COVID-19 oleh Indeks Toluna-Blackbox Persepsi Krisis Global 2020; tempat ke-12 dalam Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2020 serta dalam Indeks “DHL Global Connectedness Index 2019”; tempat ke-26 dalam Indeks Daya Saing Bakat Global 2020; dan tempat ke-27 Indeks Daya Saing Global 2019 Forum Ekonomi Dunia.
Beliau berkata daripada kesemua penarafan itu, jumlah pelaburan Malaysia yang diluluskan adalah bukti kedudukan negara dalam memudahkan perniagaan.
Awal tahun ini, lima projek pembuatan dan perkhidmatan oleh pelaburan asing bernilai RM4.6 bilion telah diluluskan dalam sektor-sektor seperti elektrik dan elektronik serta peranti perubatan.
Pada tahun 2019, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan bernilai RM208 bilion.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Jul 07 2020
TENGKU ZAFRUL: Memandangkan Malaysia adalah ekonomi terbuka, sama ada pertumbuhan kita akan bentuk U ataupun V, ia juga tertakluk kepada faktor luaran. - Gambar fail
Kerjasama mesti adil, bukan formula elit - PM
Kerjasama antara negara melalui platform ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) atau lain-lain mesti bersifat adil untuk menangani isu-isu kepentingan bersama.
Suruhanjaya Tinggi Malaysia keluar nasihat perjalanan
Rakyat Malaysia di Pakistan dinasihatkan supaya berhati-hati berikutan perarakan di ibu negara Islamabad oleh penyokong bekas perdana menteri Pakistan yang kini menjalani hukuman penjara, Imran Khan.
Empat anggota pasukan keselamatan Pakistan terbunuh
Empat anggota pasukan keselamatan Pakistan terbunuh pada Selasa dalam rusuhan oleh penunjuk perasaan yang menuntut supaya bekas Perdana Menteri, Imran Khan, dibebaskan dari penjara.
Masa tepat perkukuh perdagangan AI dan digital Malaysia-Rusia - Nazir Razak
Tan Sri Nazir Razak, Pengerusi ASEAN Business Advisory Council, menyeru kerjasama lebih erat antara Rusia dan ASEAN dalam bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), pasaran karbon, modal teroka, serta keselamatan makanan. Beliau menyifatkan Forum Perniagaan Antarabangsa World of Opportunities Russia-ASEAN sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi, dengan menekankan keutamaan ASEAN menjelang 2025 dan mengundang pelaburan serta kepakaran Rusia.
Masa tepat perkukuh perdagangan AI dan digital Malaysia-Rusia - Nazir Razak
Tan Sri Nazir Razak, Pengerusi ASEAN Business Advisory Council, menyeru kerjasama lebih erat antara Rusia dan ASEAN dalam bidang perdagangan digital, kecerdasan buatan (AI), pasaran karbon, modal teroka, serta keselamatan makanan. Beliau menyifatkan Forum Perniagaan Antarabangsa World of Opportunities Russia-ASEAN sebagai platform strategik untuk memperkukuh hubungan ekonomi, dengan menekankan keutamaan ASEAN menjelang 2025 dan mengundang pelaburan serta kepakaran Rusia.
'Permohonan maaf saya tak ada kaitan isu papan tanda, sebaliknya... '
Datuk Seri Tiong King Sing tampil menjelaskan permohonan maaf belieu kepada rakyat Jepun dan China baru-baru ini tiada kaitan dengan isu papan tanda Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
KKM akan terus meneliti cadangan kerja syif 45 jam seminggu
Proses libat urus dengan semua pihak berkepentingan perlu diadakan terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan berkenaan tempoh bekerja 45 jam bagi jururawat di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berbanding 42 jam dapat dimuktamadkan.
Imigresen Selangor tahan 119 PATI di Pandan Mewah
Seramai 119 warga asing ditahan kerana disyaki tidak mempunyai dokumen sah selain kesalahan imigresen di Pandan Mewah, Ampang pada Selasa.
Tujuh ditahan culik remaja perempuan 15 tahun
Tujuh ditahan dipercayai terbabit dalam kes culik seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dalam kejadian di Taman Kem, Pelabuhan Klang pada 16 November lalu.
[TERKINI] Enam individu ditahan disyaki terlibat kes curi Ferrari di pusat cuci kereta
Polis menahan enam individu termasuk seorang wanita dipercayai terlibat dalam kes kecurian sebuah kereta mewah jenis Ferrari, yang dilaporkan hilang 17 Nov di sebuah pusat cuci kereta di Hulu Kelang.
KDNK Malaysia berkembang 6.3 -7.5 peratus tahun depan - Tengku Zafrul
Unjuran itu bergantung kepada kejayaan berterusan Malaysia dalam mengurus COVID-19.