Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Shinzo Abe yang tampil dengan langkah tegas ekonominya yang dikenali sebagai ‘Abenomics’, kini memberi fokus utama kepada kuasa ekonomi wanita atau ‘Womenomics’.

Minggu lepas unjuran data terbaru keluaran dalam negara kasar, KDNK, Jepun susut hampir 2 peratus bagi suku kedua tahun ini.

Perdana Menteri Shinzo Abe yang sebelum ini bertindak pantas dengan langkah fiskal dan kewangan kini beralih kepada reformasi struktur ekonomi dengan penekanan kepada peranan wanita.

Pendekatan ini membawa perjuangan hak kemanusiaan bagi wanita yang dipadankan dengan nilai potensi produktiviti dan pulangan ekonomi.

Di Perhimpunan Sedunia untuk Wanita, WAW Tokyo 2014, yang berakhir Isnin lalu, pemimpin-pemimpin kerajaan berhimpun bersama-sama tokoh-tokoh ekonomi, korporat , usahawan dan badan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa bagi merangka pelan spesifik meningkatkan peranan wanita.

Polisi kerajaan kini meletakkan sasaran tinggi pencapaian penghakupayaan wanita seperti tiga puluh peratus wanita dalam posisi kanan kepimpinan dan lima puluh lima peratus wanita yang melahirkan anak pertama kembali bekerja berbanding tiga puluh lapan peratus sekarang.

Namun cabaran getir ‘Womenomics’ di negara dibelenggu masalah generasi menua dengan nilai konservatif menebal ini ialah di sektor yang tradisinya monopoli lelaki seperti industri asas tani.


Siswazah tani wanita, Yukiko Tonokura, yang menyahut seruan kerajaan Jepun ini menyuarakan realiti cabaran yang menanti.

“Terutamanya di kawasan saya di Iida, Nagano, setiap peladang ada (keluasan) tanah yang terhad. Majoritinya pula lelaki. Mereka mewarisi usaha ini daripada pesaka keluarga dan kebanyakanna lelaki warga emas.”

Yukiko
Yukiko Tonokura Siswazah Tani peladang epal dan sayur-sayuran yang berhadapan realiti getir monopoli lelaki dalam industri asas tani Jepun - Foto Astro AWANI / KAMARUL BAHRIN HARON

Untuk mengubah sikap golongan lelaki berusia dan pertengahan umur terhadap peranan wanita seperti yukiko memang diakui sukar.

Harapan anjakan minda dan sikap lebih pada generasi lelaki muda.

Suami Yukiko, Kennichi Tonokura, misalnya yakin wanita membawa pembaharuan untuk kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Kennichi berkata, “untuk peningkatan atau pembaharuan, cara baru perlu. Bagi cara baru saya berpendapat lelaki tidak mampu melakukannya. Saya fikir wanita lebih berkuasa dalam menghubungkan manusia contohnya pertalian senyuman dan tawa. Ya, saya berpendapat jika isteri saya boleh melangkah ke depan dengan berbeza, ia akan bawa perubahan besar kepada industri pertanian Jepun.” Kesungguhan pentadbiran Jepun dalam memajukan peranan wanita bukan sahaja dalam sektor ekonomi tetapi merentas pelbagai bidang memerlukan penerimaan akar umbi untuk berjaya.

Walaupun cabaran dalam negara rumit, Abe tidak segan silu berkongsi pandangan tokoh-tokoh wanita antarabangsa termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Berhad, Datuk Rohana Rozhan untuk mendapat idea, sokongan dan rangkaian baru.

Sama ada rejuvenasi cetusan ‘Abenomics’ dan ‘Womenomics’ berjaya atau tidak, mungkin hanya akan dapat dilihat dalam jangka masa sederhana dan panjang.

Di WAW Tokyo 2014, ia menjadi resolusi perjuangan relevan wanita seluruh dunia.