GEORGE TOWN: Kaotim, jenama dan platform digital yang diuruskan oleh Takaful Malaysia, melancarkan dua produk baharu, Kaotim Car dan Kaotim Motor, yang menawarkan pelan perlindungan komprehensif dan mampu milik bagi kenderaan persendirian dan motosikal.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal, berkata, pengenalan produk Kaotim Car dan Kaotim Motor merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk memperkukuh kedudukannya dalam segmen insurans dan takaful motor.

Menurutnya, Takaful Malaysia menyasarkan untuk mencapai nilai jualan sebanyak RM10 juta menjelang akhir tahun melalui pelan perlindungan komprehensif yang ditawarkan secara dalam talian.

“Pelancaran ini selaras dengan peningkatan jualan kenderaan di pasaran. Kami berhasrat untuk memperluaskan lagi penawaran pelan perlindungan dalam talian yang mampu memenuhi keperluan pelanggan,”

“Pelan perlindungan ini juga mudah diakses, di mana proses kelulusan dan pengesahannya dapat diselesaikan dalam tempoh hanya lima hari.

“Jadi insyallah, untuk tiga bulan ini kita sasar RM10 juta jualan bagi Kaotim Car dan Kaotim Motor,” katanya selepas majlis pelancaran Kaotim Car dan Kaotim Motor di sini, pada Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Malaysia Am, Mohamed Sabri Ramli, juga kekal optimis dalam memacu pertumbuhan ekosistem digital Kaotim.

“Persaingan dalam Kaotim Car dan Kaotim Motor pada masa kini terdapat 23 syarikat iaitu 19 syarikat insurans dan empat pengurus takaful. Jadi persaingan adalah sihat dan terbuka kerana ia juga bergantung kepada agen yang mewakili syarikat tersebut.

“Kaotim bukan sekadar jenama atau platform kerana banyak lagi dalam perancangan kita selepas ini. Tetapi yang pastinya Kaotim akan memenuhi hasrat digital buat pelanggan,” tambahnya.

xxx

Perlindungan komprehensif di hujung jari

Kaotim Car menyediakan perlindungan menyeluruh untuk kenderaan persendirian terhadap risiko seperti kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian, liabiliti kepada pihak ketiga atau kerosakan harta benda.

Pelanggan turut menikmati faedah tambahan seperti perkhidmatan bantuan kerosakan bahu jalan 24 jam serta perkhidmatan tunda tanpa had secara percuma.

Selain itu, terdapat 11 faedah tambahan yang fleksibel, termasuk Motor PA Plus, yang menawarkan perlindungan terhadap kematian atau kecacatan kekal akibat kemalangan jalan raya.

Kaotim Motor pula memberikan perlindungan komprehensif untuk motosikal, termasuk perlindungan daripada kerosakan akibat kemalangan, kebakaran, kecurian serta liabiliti kepada pihak ketiga untuk kematian, kecederaan badan, dan kerugian atau kerosakan harta benda.

Produk ini juga menawarkan perkhidmatan bantuan bahu jalan 24 jam dan satu kali perkhidmatan tunda secara percuma.

Pelanggan boleh menambah empat faedah tambahan, termasuk Bike PA Plus yang melindungi penunggang motosikal daripada kemalangan jalan raya yang membawa kepada kematian atau kecacatan kekal.

Diskaun dan faedah tambahan

Pelanggan Kaotim Car boleh menikmati diskaun serta-merta sebanyak 10 peratus serta perlindungan kemalangan peribadi percuma sebanyak RM15,000 bagi setiap individu yang dilindungi.

Bagi Kaotim Motor pula, pelanggan juga akan menerima diskaun serta-merta 10% dan perkhidmatan tunda secara percuma sekali, selain perlindungan untuk semua penunggang motosikal yang dibenarkan.

Untuk maklumat lanjut tetang pakej-pakej yang ditawarkan, boleh layari https://kaotim.my/bm