KUALA LUMPUR: Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE mendedahkan bahawa kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara empirikal tidak mempengaruhi pergerakan ringgit di pasaran antarabangsa.

Menerusi satu kenyataan, kajian analisis selanjutnya menunjukkan bahawa tahap daya saing ekonomi keseluruhan serta kepelbagaian ekonomi mempengaruhi kedudukan ringgit.

Kenyataan sama berkata, kadar inflasi, pelaburan, harga minyak, pembangunan kewangan, produktiviti (termasuk teknologi), percukaian, dan eksport mempengaruhi pergerakan ringgit.

‘’Penyusutan nilai ringgit sekian lama sejak 2015 telah menjadi isu struktural kepada ekonomi Malaysia dan ini memerlukan intervensi jangka pendek dan jangka panjang bagi memastikan kestabilan dan ketahanan daya saing ekonomi Malaysia.

‘’Penyusutan nilai ringgit memberi kesan kepada kos sara hidup isi rumah terutamanya kuasa beli makanan dan keperluan apabila negara bergantung tinggi kepada import makanan dan bahan memproses makanan,’’ katanya.

Demikian antara hasil analisis “Restoring the Ringgit: Calling for an Economic Correction Model” yang dilaporkan oleh EU-ERA dalam siri penerbitan EU-ERA Policy Brief.

Pada masa sama, EU-ERA, THE FUTURE juga menekankan keperluan pihak kerajaan melaksanakan Model Pembetulan Ekonomi menumpukan kepada penambahbaikan struktur dan daya tahan ekonomi secara keseluruhannya terhadap kejutan luaran.

Ini memandangkan kestabilan ringgit dijangka mengambil masa yang lebih lama, pelaksanaan strategi jangka pendek menjadi penting untuk mengurangkan kesan kos import ke atas kos sara hidup isi rumah.