MAA dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, walaupun berlaku penurunan tahunan, jumlah keseluruhan industri (TIV) pada November adalah 3.3 peratus lebih tinggi berbanding 69,859 unit pada Oktober.
"Penurunan TIV disebabkan oleh pengguna mengamalkan sikap tunggu dan lihat menjelang promosi hujung tahun," kata persatuan itu.
Jualan kenderaan penumpang (PV) pada November 2024 mencapai 62,425 unit, mencatatkan penyusutan sebanyak enam peratus berbanding 66,585 unit pada November 2023.
Sementara itu, jualan kenderaan komersial (CV) mencatatkan penurunan yang lebih ketara, menguncup 24 peratus tahun ke tahun kepada 5,107 unit berbanding 6,677 unit.
Untuk 11 bulan pertama 2024, jumlah jualan kenderaan meningkat sebanyak 1.4 peratus kepada 731,534 unit, daripada 721,392 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.
TIV PV meningkat tiga peratus kepada 670,650 unit manakala TIV CV merosot 17 peratus kepada 60,884 unit.
Dari segi pengeluaran, sebanyak 60,927 kenderaan dihasilkan pada November 2024, turun 10 peratus daripada 67,743 unit pada tempoh setahun yang lalu.
Ini termasuk 56,898 PV, penyusutan sebanyak 10 peratus daripada 62,931 unit dan 4,812 CV, berkurang sebanyak 16 peratus daripada 5,744 unit.
Pengeluaran setakat ini berkembang dua peratus kepada 725,173 unit berbanding 708,376 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Daripada jumlah ini, 683,262 unit merupakan PV, meningkat tiga peratus tahun ke tahun manakala pengeluaran CV susut tujuh peratus kepada 41,911 unit.
MAA menjangka momentum jualan yang lebih kukuh pada Disember 2024, dipacu oleh promosi agresif hujung tahun, terutamanya daripada syarikat-syarikat yang tahun kewangannya berakhir pada 31 Disember.
- BERNAMA