KUALA LUMPUR: Jualan kenderaan baharu Malaysia melonjak 21 peratus kepada 57,991 unit pada April 2024 daripada 47,802 pada bulan yang sama tahun lepas, demikian menurut Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

Persatuan itu berkata bagaimanapun jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) turun 18 peratus lebih rendah berbanding TIV Mac 2024 sebanyak 71,052 unit.

"April adalah bulan bekerja yang singkat kerana cuti perayaan Hari Raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebanyak 53,253 kenderaan penumpang dijual pada April, meningkat 25 peratus daripada 42,587 unit yang dijual setahun sebelumnya, manakala jualan kenderaan perdagangan susut sembilan peratus kepada 4,738 unit daripada 5,215 unit.

MAA berkata kuantiti jualan bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini meningkat lapan peratus kepada 260,236 unit daripada 240,417 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama pada 2023.

TIV terdiri daripada 238,247 kenderaan penumpang (naik 11 peratus) dan 21,989 kenderaan perdagangan (turun 15 peratus).

Dari segi pengeluaran, MAA berkata 56,895 kenderaan dikeluarkan pada April 2024, meningkat 38 peratus daripada 41,160 unit pada bulan yang sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 53,857 unit adalah kenderaan penumpang, melonjak 40 peratus daripada 38,575 unit setahun sebelumnya, manakala kenderaan perdagangan sebanyak 3,038 unit, meningkat 18 peratus daripada 2,585 unit sebelumnya.

Setakat ini bagi tahun ini, MAA berkata sebanyak 267,326 unit telah dikeluarkan, iaitu 12 peratus lebih tinggi daripada 239,554 unit yang dikeluarkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Ini termasuk 253,056 kenderaan penumpang (naik 13 peratus) dan 14,270 kenderaan perdagangan (turun tiga peratus).

Bagi prospek Mei 2024, MAA mengunjurkan jualan "lebih tinggi sedikit" berbanding bulan lepas.

-- BERNAMA