ELK-Desa Resources Bhd, unit milik penuh Unico-Desa Plantations Bhd yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa laysia pada 18 Dis, akan menerbitkan 25 juta saham bernilai RM1.16 setiap satu di bawah tawaran awam permulaannya (IPO).

Pengarah Eksekutif Unico-Desa, Lim Keng Chin berkata IPO itu dijangka mengumpulkan hasil kasar RM29 juta, yang akan digunakan kebanyakannya bagi pengembangan dan modal kerja.

"Penyenaraian itu merupakan petunjuk langkah agresif syarikat untuk menjana lebih banyak modal dan sumber bagi memastikan momentum pertumbuhannya berterusan," kata Lim selepas pelancaran prospektus IPO di sini, hari ini.

Lim berkata ELK-Desa akan dijenamakan semula dan portfolionya akan ditambah baik.

Beliau berkata ketika ini syarikat itu tidak mempunyai polisi dividen.

"Bagaimanapun, bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2013, lembaga pengarah berhasrat mengesyorkan dan mengagihkan kira-kira 50 peratus daripada keuntungan selepas cukainya kepada pemegang saham sebagai dividen," katanya.

ELK-Desa terlibat kebanyakannya dalam pembiayaan sewa beli bagi kenderaan motor terpakai dan perniagaan agensi insurans.

Ketika ini ia memiliki lebih 700 pengedar kenderaan motor terletak di Lembah Klang.