Menurut Ketua Perkhidmatan Pekerjaan dan Sistem Insurans Pekerjaan, PERKESO, Gayathri Vadivel, forum edisi kedua ini berbeza dengan edisi sebelumnya yang dijalankan secara dalam talian sewaktu pandemik COVID-19 melanda negara.
Ujarnya, IPEF 2023 julung kalinya diadakan secara fizikal dan perbincangan forum mengambil kira pergerakan semasa pasaran buruh di Malaysia.
"Sekarang kita berada dalam tempoh endemik, kita melihat trend-trend dalam pasaran buruh yang sudah berubah, cara berkerja pun sudah berubah, kita lihat ramai yang berminat untuk work from home,
"Dan menjadi cabaran kepada majikan untuk merangka dasar dalam memastikan tenaga sumber manusia mereka produktif dan membantu syarikat dari segi kelangsungan syarikat," ujarnya ketika ditemu bual dalam program AWANI Pagi pada Selasa.
Mengulas lanjut, forum IPEF 2023 ini juga akan membariskan barisan panel yang cukup berpengaruh dalam bidang sumber manusia dalam dan luar negara.
Antara lain, fokus perbincangan forum melibatkan transformasi dan perubahan pasaran buruh, jaringan keselamatan pengganguran dan pemberhentian pekerja, dan pemerkasaan golongan rentan dalam sektor pekerjaan.
"jadi IPEF 2023 ini adalah satu forum bagaimana kita ingin melihat amalan terbaik, bukan sahaja perkongsian daripada pakar-pakar di Malaysia, malah pakar-pakar dari seluruh dunia seperti Belgium, Korea, Jepun, dan Norway,"
Tambahnya lagi, IPEF 2023 mampu menjadi ruang rujukan untuk Malaysia menggunapakai polisi dan dasar negara-negara luar yang mempunyai kepakaran dalam polisi sumber manusia secara kondusif.
"Dari sudut majikan terutama di sektor informal, kita melihat kepentingan bentuk pendedahan-pendedahan yang perlu dilaksanakan oleh majikan kepada pekerja-pekerja informal terutamanya melibatkan caruman,"
IPEF 2023 bakal berlangsung pada 11 hingga 13 Oktober 2023 bertempat di KL Convention Centre dengan menghimpunkan lebih 20 panel penceramah dalam dan luar negara.
PERKESO juga menjemput orang ramai terutama para pemain industri, ahli akademik, pengkaji badan Kerajaan, agensi-agensi serta orang awam untuk sama-sama hadir ke IPEF 2023 bagi mendengar perkongsian topik yang menarik daripada pelbagai perspektif yang unik mengenai pasaran buruh.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran IPEF 2023, boleh ke pautan https://ipef2023.perkeso.gov.my/.