MDEC dalam kenyataan pada Selasa menyifatkan inisiatif berkenaan sebagai game changer atau pengubah keadaan yang mendayaupayakan PMKS ke arah meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos operasi perniagaan hingga 20 peratus menjelang 2030.
"Inisiatif Pendigitalan Perniagaan Bersepadu ini merangkumi komponen penting seperti penyatuan ID perniagaan dan penilaian tahap kematangan digital bertujuan memadankan solusi digital yang bersesuaian dengan keperluan masa kini serta melonjakkan tahap kematangan digital perniagaan tempatan," menurut kenyataan itu.
Menurut MDEC, inisiatif berkenaan adalah sebahagaian komitmen kerajaan untuk mempercepat transformasi digital PMKS dengan sasaran 1.26 juta perniagaan mencapai tahap kematangan menggunakan teknologi digital yang komprehensif dan 292,000 perniagaan mencapai tahap kematangan pendigitalan menyeluruh menjelang 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fadzil dalam kenyataan sama berkata inisiatif yang diluluskan Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Ke-4 Negara (MED4IRN) pada 4 Dis lepas turut dijangka menggalakkan sekurang-kurangnya 80 peratus PMKS menggunakan teknologi digital secara lebih komprehensif.
“Melalui kolaborasi strategik dengan agensi-agensi seperti SME Corp, inisiatif ini telah dirancang dengan teliti untuk memastikan penyelarasan yang efektif dari aspek perancangan hingga pelaksanaan.
"Ini akan mempercepatkan lagi agenda transformasi pendigitalan perniagaan, sekali gus menjadikan ekonomi negara lebih berdaya tahan dan inovatif," katanya.
Pada masa sama, MDEC memaklumkan penubuhan Rangka Tindakan Ekonomi Perkongsian (RTEP) dan penambahbaikan struktur tadbir urus Jawatankuasa Kebangsaan Ekonomi Perkongsian (JKEP) pula akan mengembangkan potensi ekonomi perkongsian di Malaysia.
Menurut MDEC, penambahbaikan kepada JKEP akan memastikan perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan lebih berfokus serta pembangunan dasar dan mekanisme perundangan yang lebih jelas.
"Setakat Ogos 2024, terdapat lebih 230 platform berasaskan model Ekonomi Perkongsian telah beroperasi di Malaysia," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA