KUALA LUMPUR: Inflasi Malaysia pada Ogos 2024 mereda kepada 1.9 peratus dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.7 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

Demikian dinyatakan dalam laporan Indeks Harga Pengguna (IHP) Ogos 2024 yang dikeluarkan hari ini.

Peningkatan inflasi pada Ogos 2024 telah didorong oleh peningkatan bagi kumpulan utama restoran & perkhidmatan penginapan (3.2 peratus); penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (3.2 peratus); perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (3.1 peratus) dan rekreasi, sukan dan kebudayaan (2.0 peratus).

Sementara itu, kumpulan utama lain merekodkan kenaikan di bawah kadar inflasi keseluruhan 1.9 peratus.

Bagaimanapun, pakaian dan kasut masih kekal pada negatif 0.2 peratus pada Ogos 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menyatakan, inflasi restoran dan perkhidmatan penginapan mereda kepada 3.2 peratus (Julai 2024: 3.4 peratus).

"Ini disebabkan oleh peningkatan subkumpulan utama perkhidmatan penyediaan minuman kepada 4.2 peratus (Julai 2024: 4.3 peratus).

"Manakala, inflasi bagi penjagaan diri, perlindungan sosial dan pelbagai barangan dan perkhidmatan merekodkan kadar yang sama seperti Julai 2024 sebanyak 3.2 peratus, pada Ogos 2024," katanya.

Menurut Mohd Uzir, peningkatan ini disumbangkan oleh kelas perbelanjaan barang  kemas dan jam tangan pada 17.5 peratus (Julai 2024: 18.1 peratus).

Di samping itu, kumpulan makanan dan minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat 1.6 peratus pada Ogos 2024. Kadar yang sama direkodkan pada Julai 2024.

Subkumpulan utama makanan di rumah meningkat 0.3 peratus (Julai 2024: 0.3%) terutamanya disumbangkan oleh inflasi kelas perbelanjaan sayur-sayuran yang merekodkan peningkatan 2.2 peratus (Julai 2024: 2.9 peratus).

Selain itu, inflasi pengangkutan meningkat 1.3 peratus pada Ogos 2024 berbanding  1.2 peratus pada Julai 2024.

Mohd Uzir berkata, peningkatan tersebut disumbangkan oleh subkumpulan utama pengurusan peralatan pengangkutan persendirian yang meningkat kepada  1.8 peratus pada Ogos 2024 (Julai 2024: 1.8%).

Antara item yang merekodkan kenaikan ialah diesel dan petrol tanpa plumbum RON97.

Berhubung inflasi di peringkat negeri, Mohd Uzir berkata, kebanyakan negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional 1.9 peratus.

"Bagaimanapun, empat negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Pulau Pinang (3.3 peratus), Pahang (2.8 peratus), Sarawak (2.5 peratus) dan Selangor (2.3 peratus)

"Kesemua negeri mencatatkan peningkatan dalam inflasi makanan & minuman," tambahnya.

Selain itu, inflasi keseluruhan secara bulanan pada Ogos 2024 merekodkan kenaikan  0.1 peratus, kadar yang sama seperti Julai 2024.

Peningkatan ini didorong terutamanya oleh perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.2 peratus) dan kesihatan (0.2 peratus).

Sementara itu, inflasi teras masih kekal 1.9 peratus pada Ogos 2024, kadar yang sama sejak April 2024.

Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia adalah lebih rendah berbanding di Vietnam (3.5 peratus), Filipina (3.3 peratus), Indonesia (2.1 peratus) dan Republik Korea (2.0 peratus).